Harap Tze Yong kembali menyerlah

Iklan
Tze Yong yang diturunkan dalam perlawanan suku akhir BATC 2024 menentang pemain Singapura, Jason Teh hanya mampu beraksi selama tiga minit sebelum sekali lagi menarik diri akibat kecederaan.

SEMUANYA bermula semasa Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia pada 10 Januari lalu, ketika pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong memulakan azam tahun baharu di laman sendiri bagi pemburuan keputusan positif dalam menyalakan impian secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Namun misi pemain berusia 23 tahun yang berada di kedudukan nombor 15 dunia ketika itu gagal menampilkan aura sebenarnya di depan komuniti badminton negara apabila terpaksa menarik daripada kejuaraan berstatus Super 1000 tersebut.

Iklan
Iklan

Kecederaan koyak otot bahagian belakang hasil pemeriksaan di Institut Sukan Negara (ISN) pada 12 Januari menyaksikan atlet program Road To Gold (RTG) tersebut terpaksa melupakan tiga kejuaraan iaitu Terbuka India, Indonesia Masters dan Thailand Masters selepas itu bagi memberikan tumpuan kepada proses pemulihan ditetapkan sebelum kembali menyertai semula kejuaraan besar.

Keazaman tinggi Tze Yong untuk pemburuan slot ke Paris 2024 yang mendapat khidmat jurulatih fizikal, Mohd Roesdi Ab Ghani kembali menyala apabila namanya disenaraikan dalam barisan skuad penyandang juara mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, bermula 13 Februari lalu.

Iklan

BATC 2024 disifatkan sebagai gelanggang penting buat Tze Yong untuk kembali berada pada tahap optimum selepas kecederaan otot belakang sebelum ini sekali gus mempersiapkan diri bagi menghadapi siri kejohanan di Eropah yang mana dia perlu menghasilkan keputusan terbaik dalam misi layak ke Paris 2024.

Bagaimanapun Tze Yong yang diturunkan dalam perlawanan suku akhir BATC 2024 menentang pemain Singapura, Jason Teh hanya mampu beraksi selama tiga minit sebelum sekali lagi menarik diri akibat kecederaan.

Iklan

Perkembangan itu sekali lagi membawa perkhabaran kurang enak sekali gus menyaksikan beliau terpaksa melupakan Kejohanan Terbuka Perancis dan Seluruh England yang merupakan antara dua kejuaraan penting untuk ke Paris 2024.

Sekali lagi harapan pemenang pingat emas acara badminton perseorangan lelaki Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang mewakili Johor itu untuk ke temasya sukan terbesar dunia tersebut kembali samar berikutan kecederaan terbaharu itu.

Pengakhirannya, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria tampil dengan pendekatan tidak terlalu memberi tekanan kepada Tze Yong yang juga harapan negara dalam usaha mengejar slot ke Paris 2024, susulan kecederaannya.

Malah, pemain perseorangan nombor dua negara selepas Lee Zii Jia tersebut akan diberikan sepenuh ruang untuk kembali pulih sepenuhnya terlebih dahulu sebelum kembali ke gelanggang.

Keputusan meletakkan aspek kesihatan Tze Yong sebagai keutamaan merupakan satu pilihan bijak walaupun terpaksa mengorbankan kelayakan Olimpik pertamanya yang membara di jiwa pemain tersebut.

Pastinya sebagai prospek untuk satu lagi kitaran Olimpik iaitu Los Angeles 2028 (LA28) sudah pasti semua pihak tidak mahu dia bermain memburu mata kelayakan perjalanan ke Paris 2024 hanya akan memanjangkan tempoh kecederaan jangka panjang sekali gus yang tidak boleh dirawat.

Selepas melihat dari pelbagai sudut dan jalan penyelesaian sebaik mungkin, bagi mengelakkan tekanan yang bakal menyaksikan bintang muda negara ini bergelut sekali lagi, pilihan terbaik adalah mengorbankan impian Paris 2024 pemain berjiwa kental tersebut.

Matlamat utama pada masa ini adalah Tze Yong fokus kepada proses pemulihan sebelum kembali semula ke prestasi sebelum kecederaannya. Kesihatan adalah keutamaan sekarang.

Sebaik sahaja sihat sepenuhnya, maka sudah tiba masanya untuk anda kembali semula menyerlah.

* Zuraimee Zainal adalah Penolong Editor Sukan Sinar