JOHOR BAHRU - Menguruskan dua anak berstatus orang kurang upaya (OKU) dengan seorang daripadanya terlantar menjadi rutin harian buat Rahimah Abdul Karim, 49, yang merupakan ibu tunggal.
Rahimah menjadikan al-Quran sebagai penguat semangatnya untuk terus cekal menjaga anaknya Mohd Nihal Abu Bakar, 23, yang mengalami tulang belakang bengkok dan Nurul Ain, 25, yang sering terkena sawan.
Katanya, dua anaknya itu dilahirkan normal tetapi keadaan mereka berubah sejak beberapa tahun lalu.
"Mohd Nihal yang juga anak ketiga daripada enam beradik sering diserang sawan dan kini terlantar. Dia juga kini mudah mengalami masalah pernafasan dan tulang belakang bengkok sejak tiga tahun lalu.
"Nurul Ain pula berdepan masalah darah haid yang banyak dan disahkan mengalami masalah anemia sejak empat tahun lalu. Selain itu, dia turut mengalami masalah pembelajaran," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Jaya Putra pada Rabu.
Menurut Rahimah, sejak bercerai dengan suaminya empat tahun lalu, dia menjadikan buku-buku motivasi sebagai pemangkin semangat agar tidak mudah berputus asa.
Jelasnya, kini mempunyai lebih 200 koleksi buku motivasi dan kisah wanita hebat dalam sejarah Islam yang disimpan dalam almari di ruang tamu rumah.
"Dua anak OKU saya perlukan perhatian sepanjang masa kerana mereka tidak boleh ditinggalkan bersendirian. Ain suka mengamuk, Nihal pula serba-serbi perlu diuruskan daripada makan sehingga tukar lampin pakai buang.
"Saya akan bacakan al-Quran untuk Nihal dan Ain terutama pada sebelah pagi untuk kedua-duanya lebih tenang," katanya.
Rahimah menjelaskan, wang Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima setiap bulan digunakan untuk keperluan seharian.
"Anak sulung, Mohd Rashid, 27, dan Mohd Raihan, 26, masing- masing sudah berumah tangga ada membantu untuk meringankan beban.
"Anak bongsu, Aiman Hakim, 22, yang turut mengalami masalah pembelajaran kini bekerja di sebuah kafe di Kuala Lumpur," ujarnya.
Jelas Rahimah, dia akan terus menjaga kedua-dua anaknya itu meskipun kesihatan diri semakin merosot kerana menghadapi masalah asma.