Ronaldo digantung, denda selepas tunjuk isyarat lucah

Iklan
Aksi Ronaldo ketika perlawanan menentang Al-Shabab. Foto AFP

CRISTIANO Ronaldo telah digantung satu perlawanan selepas membuat isyarat lucah ketika kemenangan 3-2 Al Nassr ke atas Al Shabab, kata Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) pada Khamis.

Selepas wisel penamat pada Ahad, video yang tular di media sosial merakamkan Ronaldo menekup telinganya sebelum berulang kali menunjukkan isyarat lucah ditujukan kepada penyokong Al Shabab yang melaungkan nama Lionel Messi.

Iklan
Iklan

Jawatankuasa itu berkata, bintang Portugal itu perlu membayar denda 10,000 riyal Saudi (RM12,712) kepada Persekutuan Bola Sepak Saudi dan 20,000 riyal kepada Al-Shabab untuk menampung kos yuran pemfailan aduan.

Pada April tahun lalu, Ronaldo juga pernah membuat isyarat lucah apabila mencengkam kemaluannya selepas tamat perlawanan liga menentang Al Hilal.

Iklan
Iklan

Awal bulan ini pula, dia mengambil selendang Al Hilal yang dilemparkan kepadanya dari tempat duduk penonton, memasukkannya ke dalam seluar pendeknya dan kemudian membuangnya ketika dia berjalan ke arah terowong selepas Al Nassr tewas 2-0 dalam perlawanan akhir Piala Musim Riyadh.