Ahmad Zahid cadang dasar Transformasi Ekonomi Bumiputera

Iklan
Ahmad Zahid menyampaikan ucaptama pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis.Foto Bernama

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis mencadangkan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) sebagai satu dasar untuk mengorak langkah ke hadapan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Transformasi Ekonomi Bumiputera turut menggariskan tiga matlamat utama untuk dicapai, melibatkan Keadilan Sosio-Ekonomi, Kemampanan Negara Bangsa serta Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat.

Iklan
Iklan

Katanya, ketiga-tiga matlamat utama itu bagi memastikan dasar dan pelaksanaan agenda ekonomi negara bukan sahaja menjamin penglibatan dan hak Bumiputera, tetapi pada masa sama memastikan wujudnya kesalingan atau synergy dengan bukan Bumiputera.

"Tiga matlamat utama yang digariskan menuntut semua kaum bekerjasama membangunkan negara. Menghormati agihan yang adil di samping menerima hakikat, bahawa usaha memartabatkan penyertaan bumiputera dalam semua sektor ekonomi adalah dalam kerangka Perlembagaan Negara.

Iklan

"Ia juga bagi memadamkan penceritaan ekonomi negara dikuasai oleh kumpulan minoriti, yang tentunya mengundang resah kaum majoriti dan pada akhirnya mewujudkan kesenjangan sosial. Keadaan sebegini tentunya tidak sihat bagi sebuah negara yang telah melebihi enam dekad dibangunkan secara bersama,” katanya dalam ucaptama Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata, melalui matlamat Keadilan Sosio-Ekonomi, kerajaan mahu memastikan penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera dalam sektor ekonomi dapat diperkasakan, selain memastikan mereka tidak ketinggalan dalam menyertai peluang ekonomi dan teknologi baharu.

Justeru, beliau mengusulkan agar Majlis Amanah Rakyat (Mara) diperkasakan dengan tanggungjawab penyelarasan, pemantauan dan penilaian di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera.

Iklan

"Serentak itu juga, Unit Pemerkasaan Bumiputera di kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) perlu diaktifkan semula agar penyelarasan, pemantauan dan penilaian dapat dijalankan dengan berkesan,” katanya.

Bagi matlamat Kemampanan Negara Bangsa, beliau menekankan supaya Transformasi Ekonomi Bumiputera dijadikan satu dasar besar yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi bumiputera dan menarik pelaburan agar negara dapat membina landasan ekonomi yang kukuh untuk kemampanan jangka panjang.

Manakala bagi matlamat terakhir, iaitu Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat, Ahmad Zahid berkata, setiap langkah yang diambil untuk memperkasa ekonomi bumiputera adalah sejajar dengan usaha ke arah pembangunan yang lebih merata dan mewujudkan landasan untuk pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

"Sehubungan itu, KEB 2024 mesti mencari solusi untuk lebih ramai bumiputera mengambil bahagian dalam kegiatan keusahawanan kerana keupayaan untuk berdikari dalam menjana pendapatan akan membawa kepada peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, dalam menjayakan tiga matlamat utama Transformasi Ekonomi Bumiputera itu, enam tekad digariskan sebagai rukun untuk negara terus bergerak serentak bagi mencapai cita-cita yang diinginkan bersama.

Tekad pertama, katanya adalah untuk mempertahankan agenda bumiputera sedia ada dengan dasar dan inisiatif yang diperkenalkan termasuk soal pemilikan tanah, ekuiti perniagaan, pendidikan, peluang usaha, pekerjaan dan perbekalan, walaupun masih belum mencapai sasaran perlu terus diperkasakan.

Beliau berkata, usaha menutup ketirisan pelaksanaan dasar dan inisiatif agenda bumiputera menjadi tekad kedua yang perlu dipegang, manakala tekad ketiga untuk mewujudkan kesetaraan antara wilayah, kaum dan kelompok bagi memastikan pemerkasaan agenda Bumiputera lebih merata dan rantaian peluang itu dapat memberi manfaat kepada kelompok masyarakat dalam kaum di negara ini.

"Bagi tekad kelima pula kita mestilah mewujudkan jalinan tulen ekonomi bumiputera dan bukan bumiputera. Melalui Transformasi Ekonomi Bumiputera, kita tidak mahu lagi wujudnya aktiviti ekonomi hanya atas nama bumiputera sahaja.

"Tekad keenam adalah menjamin untuk tidak meminggirkan atau menafikan hak kaum lain. Tekad ini bagi mewujudkan keadilan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” katanya.

KEB 2024 yang berlangsung hari ini hingga 2 Mac ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dijangka mencungkil potensi teknologi dan peluang baharu bidang ekonomi bagi memperkasakan bumiputera di negara ini.

Syor wujud Perbadanan Tanah Bumiputera

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera merupakan antara tiga ikhtiar pemerkasaan bumiputera yang dicadangkan sebagai dukungan kepada TEB.

Beliau berkata, cadangan perbadanan diwujudkan adalah bagi mengekalkan pemilikan tanah bumiputera yang menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan pemeliharaan identiti kebangsaan.

Ahmad Zahid berkata, perbadanan itu bertanggungjawab merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan.

"Adalah disyorkan semua tanah berstatus pajakan melebihi 50 ekar bagi kawasan pertanian ataupun plot industri yang melebihi 20 ekar, apabila sampai tempoh tamat pajakan dan dipohon untuk penyambungan, 20 peratus daripada tanah berkenaan hendaklah diserahkan semula kepada kerajaan dan ditadbir urus melalui perbadanan ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata, penubuhan perbadanan itu juga merupakan langkah proaktif untuk menjamin keseimbangan demografi kaum; mewujudkan kelangsungan kawasan usaha bumiputera bagi tujuan pertanian, perindustrian dan penempatan baharu; dan usaha tambahan mengekalkan pemilikan bumiputera.

"Langkah ini saya percaya dapat memberi pulangan dan peluang yang lebih besar kepada bumiputera untuk memiliki sebahagian daripada aset tanah negara," katanya.

Beliau berkata, melalui perancangan teliti dan strategik, setiap kawasan usaha diharapkan memberi manfaat maksimum kepada komuniti bumiputera sekali gus mencipta kelestarian ekonomi yang berterusan.

Ahmad Zahid berkata, syor lain adalah perlunya satu Pelan Waqaf Sihat dan Didik Bumiputera (Sidik) bagi menjamin perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang berterusan kepada bumiputera.

Katanya, Sidik akan menyediakan fasiliti, peralatan dan perkhidmatan kesihatan seperti pusat dan mesin hemodialisis, khidmat penjagaan kesihatan warga emas dan sebagainya serta pembiayaan rawatan bagi penyakit kronik.

Selain itu, Sidik akan memperkasa institusi pendidikan dan pusat latihan bumiputera: pendanaan biasiswa untuk anak-anak bumiputera dan memperkasa program perkembangan kemahiran untuk meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja bumiputera.

"Ikhtiar ini juga sebagai usaha untuk mendepani isu-isu kenaikan kos perkhidmatan kesihatan dan pendidikan kepada golongan seperti asnaf, warga emas dan kumpulan sasar yang terjejas," katanya.

Ahmad Zahid berkata, demi kesejahteraan bumiputera, turut dicadangkan sistem caruman daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), Yayasan Badan Amanah dan orang perseorangan.

Ahmad Zahid berkata, ikthiar ketiga yang disyorkan adalah mengindustrikan pertanian yang bertujuan untuk melibatkan bumiputera dalam sektor pertanian tanaman makanan yang berskala besar, serta dapat menjamin pengeluaran sumber makanan negara.

Mengambil contoh kejayaan Felda dan Felcra dalam membangun dan memajukan pertanian tanaman komoditi, beliau berkata, kejayaan itu menjadikan negara antara pengeksport kelapa sawit dan getah terbesar dunia.

Menyedari sebahagian masyarakat bumiputera tidak mempunyai tanah yang begitu besar, Ahmad Zahid berkata, penubuhan sebuah entiti dicadangkan.

Katanya, entiti itu akan memainkan peranan untuk mendanai dan membangunkan tanah-tanah bumiputera atau tanah-tanah berkelompok milik bumiputera yang berpotensi untuk diusahakan dengan tanaman makanan.

"Melalui ikhtiar ini, kita juga perlu menggunakan teknologi dan inovasi baharu bagi meningkatkan hasil tanaman. Pastinya pengaplikasian teknologi moden dalam pertanian memerlukan kos dan pendanaan yang tinggi bagi menjayakannya," katanya.

Ahmad Zahid berkata, dengan entiti itu bakal memberi tumpuan khusus kepada sektor ini, usaha pendanaan, kajian dan inovasi dapat dilakukan secara berstruktur untuk meningkatkan pengeluaran hasil.

Katanya, pengeluaran hasil berskala besar dan penggunaan teknologi membolehkan penghasilan kepelbagaian produk hiliran pertanian yang mempunyai nilai tambah dan boleh dipasarkan secara komersial serta membawa keuntungan yang berganda.

"Melalui pendekatan yang sama, dalam tempoh beberapa tahun ke hadapan, pengeluaran hasil pertanian makanan dalam negara akan dapat menampung keperluan domestik selaras dengan usaha keterjaminan makanan," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28