Perak rugi RM2 juta akibat kecurian lantanida

Iklan
Saarani ketika menjawab soalan lisan Chai Yi sempena Sidang DUN Perak pada Khamis.

IPOH - Kerajaan Perak kehilangan hasil sebanyak RM2 juta disebabkan kes kecurian perlombongan lantanida menerusi aktiviti perlombongan haram di Hulu Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi tempoh 2019 hingga 2023, sebanyak enam laporan telah diterima oleh pihak polis melibatkan aktiviti pencerobohan kawasan perlombongan di dalam tiga kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Negeri Perak iaitu Hutan Simpan Bintang Hijau, Hutan Simpan Kenderong dan Hutan Simpan Piah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil serbuan dijalankan ke atas lokasi tersebut oleh Jabatan Perhutanan Perak dengan kerjasama polis serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG), seramai 31 individu telah ditangkap melibatkan 10 warga tempatan dan 21 pendatang asing tanpa izin.

"Oleh itu, inisiatif kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Membanteras Perlombongan Haram Peringkat Negeri dan Persekutuan bagi memperkasa aktiviti kawalan dan pemantauan terhadap aktiviti perlombongan haram," katanya ketika menjawab soalan lisan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis.

Iklan

Sementara itu, Saarani berkata, sebagai langkah pencegahan, kerajaan negeri turut meningkatkan rondaan dan pemantauan berkala di kawasan-kawasan titik panas aktiviti perlombongan.

Menurutnya, kaedah yang digunakan termasuklah pemantauan di lapangan, pemantauan udara, penderiaan jauh dan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) atau dron yang dijalankan oleh PTG serta Jabatan Perhutanan negeri.

Iklan

Jelasnya, agensi-agensi seperti PTG, Jabatan Perhutanan Perak, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta polis akan sentiasa bekerjasama antara satu sama lain dari segi perkongsian maklumat dan dapatan mengenai aktiviti perlombongan haram dalam kawasan HSK untuk penyelarasan tindakan penguatkuasaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28