RIZAB antarabangsa Malaysia berjumlah AS$114.85 bilion (US$1=RM4.76) pada akhir Januari 2024, manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$2.30 juta.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Januari 2024 tetap boleh guna.
"Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing yang termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara berjumlah AS$15.52 bilion.
"Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak AS$23.42 bilion pada akhir Januari 2024, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” kata bank pusat.
BNM berkata, selaras dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing yang timbul daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.
Menurut bank pusat, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.61 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang sambil menambah satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun yang berjumlah AS$400.9.
"Aliran ini tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.
"BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28