Penjualan air bergantung kecukupan air domestik - Saarani

Iklan
Saarani ketika menggulung perbahasan Titah Diraja Sultan Perak Sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang Ke-15 pada Khamis.

IPOH - Kerajaan negeri Perak kekal dengan pendirian untuk tidak sewenang-wenangnya menjual air ke Pulau Pinang jika keperluan domestik tidak mencukupi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendirian itu tidak pernah berubah malah jika cadangan itu dilaksanakan hanya air terawat yang akan dijual dan bukan air mentah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebarang ketetapan yang diambil dalam soal penjualan air akan tertakluk kepada kecukupan air untuk kegunaan rakyat Perak terlebih dahulu sebelum menjual ke negeri lain.

"Apa pun, saya suka untuk mengingatkan sahabat saya, Yang Berhormat (ADUN) Gunung Semanggol yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri (Razman Zakaria) supaya tidak terlalu berkira dengan orang Pulau Pinang yang sedang memerlukan sumber air. Ini kerana di Pulau Pinang pun ramai penyokong Pas.

Iklan

"Di Penaga ramai orang Pas, di Pinang Tunggal ramai orang Pas, di Permatang Berangan ramai orang Pas. Begitu juga kawasan seperti Sungai Dua, Permatang Pasir, Sungai Bakap dan Pulau Betong. Semua itu adalah kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) yang dimenangi oleh Pas dalam pilihan raya lalu," katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang Kelima Belas di sini pada Khamis.

Pada Isnin, Razman ketika sesi perbahasan mempersoalkan projek untuk membekalkan air ke Pulau Pinang yang dilihat sebagai bukan keperluan utama berbanding menyelesaikan isu keterjaminan makanan di kawasan jelapang padi di daerah Kerian.

Iklan

Menurutnya, terdapat isu pengairan padi dan benih padi yang perlu diberikan tumpuan dalam usaha membantu rakyat di negeri ini.

Sementara itu, Saarani berkata, sama ada Perak mahu menjual air kepada Pulau Pinang atau sebaliknya, usaha memindahkan air dari Sungai Perak ke kawasan utara perlu dilakukan untuk menyelesaikan isu pengairan di sekitar Bukit Merah.

Menurutnya, apabila Pulau Pinang menyatakan persetujuan untuk membeli air terawat dari Perak ia merupakan tawaran yang membolehkan Perak mendapatkan sumber pendapatan baharu.

"Malah, dengan tidak semena-mena, Perdana Menteri telah mengumumkan pembukaan Kerian Integrated Green Industrial Park atau KIGIP.

"Maka, sama ada kita menjual air ke Pulau Pinang atau pun tidak, air perlu dipindahkan daripada Sungai Perak kepada loji rawatan air (LRA)," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28