KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak wang berjumlah RM3,479,300.18 yang disita daripada UMNO Pahang dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) untuk diserahkan kepada kerajaan Malaysia.
Wang yang disita oleh SPRM tahun lepas itu didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin dan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh yang mendengar permohonan SPRM itu masing-masing memutuskan wang berjumlah RM2,479,300.18 yang disita dari UMNO Pahang dan PBRS berjumlah RM1 juta adalah hasil daripada aktiviti haram.
Di Mahkamah Tinggi Jenayah 4, Hakim Muhammad Jamil membuat keputusan itu setelah menimbang hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh selaku pemohon dan peguam, Mohd Shukri Ahmad Mansor mewakili UMNO Pahang yang juga responden.
"Responden gagal membuktikan bahawa wang RM2,479,300.18 adalah miliknya. Saya berpuas hati wang itu yang hendak dilucut hak oleh pemohon (SPRM) adalah hasil daripada aktiviti haram. Permohonan pemohon dibenarkan," katanya.
Sebelum itu, Hakim Muhammad Jamil berkata, satu notis mengikut Seksyen 61 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 telah diisytiharkan dalam harta kerajaan Persekutuan pada 10 September 2019.
"Notis itu adalah untuk memanggil mana-mana pihak ketiga yang mempunyai apa-apa kepentingan ke atas harta iaitu wang RM2,479,300.18 supaya hadir ke mahkamah pada 18 Oktober, 2019 pada jam 9 pagi untuk menunjukkan sebab mengapa harta itu tidak boleh dilucuthakkan.
"Tiada pihak ketiga yang hadir pada 18 Oktober 2019 untuk membuat tuntutan atas harta itu, oleh itu kes ini adalah antara pemohon dengan responden sahaja," kata hakim.
Di Mahkamah Tinggi Jenayah 5, Ahmad Shahrir membenarkan permohonan SPRM setelah mendapati pemohon berjaya membuktikan harta itu adalah hasil daripada aktiviti haram.
"Saya membenarkan permohonan pemohon untuk melucut hak ke atas wang RM1 juta itu,” kata Ahmad Shahrir semasa keputusan kes itu yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman dan peguam, K Lavinia mewakili PBRS yang juga responden.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya berkata, permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.
Tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama