SHAH ALAM - Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) melakar sejarah apabila buat julung kali pusat perubatan negara ini tersenarai dalam 250 hospital terkemuka dunia.
Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long berkata, pihaknya amat berbesar hati di atas kejayaan SMC dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024 walaupun boleh dianggap sebagai hospital yang masih hijau.
"SMC telah diiktiraf sebagai antara hospital terbaik dunia dalam ranking yang membariskan nama-nama seperti Mayo Clinic (Amerika Syarikat), Hospital Besar Singapura, Hospital Diraja Prince Alfred (Australia), dan Hospital Universiti Tokyo (Jepun).
"Ini adalah cara terbaik untuk meraikan ulang tahun ke-25 kami pada tahun ini, seiring dengan sasaran untuk meningkatkan lagi standard penjagaan menerusi rawatan inovatif berpusatkan pesakit, pendigitalan dan menyediakan perkhidmatan klinikal yang komprehensif," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pencalonan dari 30 negara yang terdiri daripada 2,400 hospital yang disenarai pendek termasuk hospital awam, hospital pengajar universiti dan pusat perubatan swasta dengan hanya 250 hospital terkemuka berada dalam senarai global.
Ranking itu merupakan usaha meletakkan penanda aras bagi hospital di seluruh dunia dalam bidang kecemerlangan klinikal, penyelidikan dan inovasi.
SMC yang ditubuhkan pada 1999 merupakan hospital kuarterner swasta terbesar di negara ini dengan kapasiti 724 katil berlesen dan terdiri daripada lebih 40 bidang kepakaran. Ia juga mendapat akreditasi daripada The Australian Council on Healthcare Standards.
SMC sebelum ini pernah dinobatkan sebagai hospital pediatrik terbaik di Malaysia dan berada di kedudukan ke-28 di Asia Pasifik dalam pencalonan Hospital Khusus Terbaik Newsweek Asia Pasifik 2023.
Pusat perubatan itu juga tersenarai dalam 75 hospital terbaik bagi kategori Neurologi, Kardiologi dan Onkologi dalam tinjauan yang sama.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28