Isu bantahan pertukaran nama Hospital Parit Buntar dibawa ke mesyuarat Exco

Iklan
Isu bantahan pertukaran nama Hospital Parit Buntar kepada Hospital Bagan Serai akan dibawa ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada minggu hadapan. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Sivanesan

IPOH - Isu bantahan pertukaran nama Hospital Parit Buntar kepada Hospital Bagan Serai akan dibawa ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada minggu hadapan.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan berkata, nama hospital itu perlu dikekalkan kerana berada di dalam mukim Parit Buntar.

Iklan
Iklan

"Kerajaan harus mempertimbangkan permintaan itu. Jarak hospital dengan bandar Parit Buntar lebih dekat iaitu hanya 5 kilometer (km) berbanding bandar Bagan Serai sejauh 15 km.

"Benar ia berada dalam (kawasan) Parlimen Bagan Serai tetapi terletak di antara persempadanan Parlimen Parit Buntar," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Iklan

Sivanesan berkata beliau telah menghantar surat bantahan bertarikh 23 Februari lepas dan akan bertindak menyembah isu berkenaan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sekiranya perlu bagi membantah pertukaran nama hospital yang dicadangkan oleh bekas Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali yang juga bekas Timbalan Menteri Kesihatan.

Katanya pembinaan hospital dengan enam blok tiga tingkat berkeluasan lebih 6 hektar itu dijangka siap pada 21 Julai ini dapat memberi kemudahan kepada penduduk bagi kedua-dua kawasan Parlimen dan negeri bersebelahan. - Bernama

Iklan

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28