SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) mengajak orang ramai menyertai Himpunan Mega Rakyat Demi Palestin pada 2 Mac ini bertempat dari Masjid Tabung Haji menuju Padang Merbok, Kuala Lumpur.
Ketua Penerangannya, Mohammad Fazril Mohd Saleh berkata, rakyat perlu hadir pada perhimpunan itu sebagai tanda sokongan dan solidariti mendesak gencatan senjata demi menghentikan genosid di Gaza, menamatkan penjajahan serta pengakhiran dasar apartheid Israel.
"MBM menyelar tindakan rejim Zionis Israel yang secara terang-terangan melakukan jenayah kemanusiaan paling dahsyat abad ini yang mengakibatkan kematian mencecah 30,000 orang.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai Himpunan Mega Demi Palestin yang dijadualkan berlangsung di Padang Merbok, Sabtu ini.
Jurucakap SSP dan aktivis sosial, Tian Chua berkata, pihaknya mengharapkan penyertaan semua pihak tanpa mengira agama, latar belakang dan fahaman politik untuk menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin.
Tambah Mohammad Fazril, perang genosid Israel ke atas Gaza yang telah melepasi hari ke-145 merupakan satu
tanda kemunafikan para pemimpin dunia khasnya blok Barat dan sekutu-sekutunya yang terus-menerus mempertahankan tindakan tersebut.
Ujar beliau, mereka sebenarnya bersekutu dengan penjenayah dan wajar diheret ke muka pengadilan bersama pimpinan Zionis Israel.
"Adalah menghairankan resolusi demi resolusi yang diluluskan di forum antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) tidak mampu menghentikan tindakan pembunuhan setiap hari oleh Israel.
"Tambahan lagi, perlecehan oleh rejim Zionis Israel terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 26 Januari lalu jelas menunjukkan bahawa mereka adalah suatu bangsa biadab yang tidak akan pernah menghormati kedaulatan undang-undang," katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Fazril mengesyorkan agar PBB melalui cara dan kaedah tertentu mendapatkan mandat negara-negara dunia untuk bertindak menghantar pasukan pengaman ke Gaza bagi memastikan gencatan senjata dilakukan segera serta genosid dihentikan serta-merta sekali gus mengheret penjenayah dunia ke muka pengadilan.
Kata beliau, MBM telah membentuk satu Jawatankuasa Bertindak Belia Malaysia Memerdekakan Palestin bagi menyelenggara kegiatan advokasi, kempen kesedaran, gerakan boikot, serahan memorandum, aksi tunjuk rasa dan segala aktiviti yang berkaitan dalam usaha secara lebih tersusun ke arah perjuangan memerdekakan Palestin.
"Jawatankuasa ini merangka dua kegiatan sebelum himpunan Sabtu ini, iaitu Seruan Munajat Seluruh Negara pada 29 Februari bermula Maghrib dan serahan Memorandum Bantahan dan Teguran Tegas kepada Kedutaan Amerika Syarikat pada 1 Mac jam 10 pagi.
"Ini merupakan seruan kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak berasa lelah dalam memperjuangkan isu Palestin dan kembali menyemarak perjuangan bersama-sama," jelas beliau yang juga merangkap koordinator bersama Jawatankuasa Bertindak Belia Malaysia Memerdekakan Palestin itu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28