KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh hilang kewibawaan selepas membuat pendedahan mengejut rakaman audio yang didakwa konspirasi berprofil tinggi.
Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin berkata, rakaman itu wajib disiasat dan diambil tindakan jika tidak orang tidak akan mempercayainya.
"Jangan didedahkan untuk buat ribut dan sensasi sahaja. Wajib siasat dan ambil tindakan. Kalau tidak orang tak percaya.
"SPRM boleh hilang kewibawaan malah boleh dituduh buat fitnah,” katanya menerusi satu catatannya di akaun Facebook hari ini.
Kadir mengulas mengenai pendedahan sembilan rakaman audio dipercayai perbualan antara bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan beberapa individu termasuk pemimpin dari Arab Saudi.
Pendedahan rakaman berdurasi keseluruhan 45 minit itu dibuat dalam sidang media khas yang dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya semalam.
Dalam sidang media sama turut diperdengarkan perbualan antara Datin Seri Rosmah Mansor dan Najib.
Mengulas perbualan Najib dan isterinya, veteran wartawan itu berkata, beliau pernah berulang kali bagi amaran kepada Najib tentang peranan Rosmah sejak beliau jadi Timbalan Perdana Menteri lagi.