SHAH ALAM - Sejumlah 84.3 peratus atau 6.96 juta pengguna kategori perumahan di Semenanjung tidak terjejas dan masih tidak dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi elektrik.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam satu kenyataan berkata, walau bagaimanapun, 15.7 peratus atau 1.29 juta pengguna kategori tersebut yang menggunakan elektrik melebihi 600 kilowatt sejam (kWj) akan mengalami kenaikan bil bulanan.
"Kenaikan tersebut adalah antara 1 sen hingga RM45.48 atau sifar hingga 1.66 peratus sebulan dengan kenaikan SST daripada enam kepada lapan peratus mulai 1 Mac ini.
"Subsidi yang dilaksanakan secara bersasar ini merupakan antara pendekatan kerajaan dalam memastikan ia diberikan kepada rakyat memerlukan,” katanya pada Khamis.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, lebih 85 peratus pengguna domestik yang penggunaan elektrik bulanannya sebanyak 600 kWj dan ke bawah akan terus menikmati cukai perkhidmatan sifar bagi bil elektrik mereka.
Dalam pada itu, Petra menyarankan agar pengguna merujuk kepada bil elektrik bulanan masing-masing bagi memantau penggunaan dan subsidi yang diberikan.
"Pengguna boleh menganggarkan bil bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang dapat dicapai melalui laman sesawang myelectricitybill.my.
"Terdapat cara mudah untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik seperti melaksanakan audit dengan memantau dan menganalisa serta mengenal pasti peralatan, proses serta sistem yang boleh ditambah baik.
"Pengguna juga boleh membeli atau menggantikan peralatan elektrik di rumah dengan menggunakan barangan penarafan lima atau empat bintang supaya ia dapat memberi lebih banyak penjimatan tenaga serta melaksanakan penyelenggaraan secara berkala mengikut spesifikasi ditetapkan,” ujarnya.
Tambah Petra, pengguna turut perlu memastikan suis ditutup apabila tidak digunakan bagi mengelakkan pembaziran tenaga selain menggunakan peralatan elektrik dengan lebih efisien.
"Sebagai contoh, menetapkan penyaman udara pada suhu antara 24 hingga 26 darjah Celsius.
"Manfaatkan juga pemberian e-rebat sehingga RM400 yang diberikan oleh kerajaan melalui program SAVE 4.0 bagi pembelian penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga.
"Selain itu, memanfaatkan program Net Energy Metering (NEM) GoMEn dan NEM NOVA sebagai langkah untuk meminimumkan kos bil elektrik pengguna,” katanya lagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28