RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri digugurkan daripada program Road to Gold (RTG) susulan kegagalan dalam saingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar bulan lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Koordinator RTG, Datuk Stuart Ramalingam dalam sidang akhbar selepas Jawatankuasa RTG selesai bermesyuarat di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis.
"Mereka gagal dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Doha yang menjadi acara kelayakan terakhir awal bulan ini. Bagaimanapun, kedua-duanya akan terus menjadi sebahagian daripada Program Podium sebagai atlet elit negara,” katanya.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Stuart berkata, jawatankuasa RTG akan terus memantau kemajuan mereka dan Program Podium akan bekerjasama rapat dengan atlet dan persatuan untuk memastikan Pandelela dan Nur Dhabitah menerima semua sokongan untuk mereka menemui semula rentak yang diharapkan sebelum dipertimbangkan semula untuk dimasukkan ke dalam program pada masa hadapan.
"Dengan penyingkiran atlet ini daripada program RTG, alatan latihan yang dibiayai oleh RTG seperti platform latihan gim kering baharu (5m), pusat pemulihan khusus dan papan anjal baharu yang diluluskan FINA (akan tiba tidak lama lagi) akan menjadi pelaburan jangka panjang untuk manfaat kepada semua penerjun kebangsaan,” katanya.
Dalam pada itu, RTG turut mengumumkan seorang lagi penerjun negara, Bertrand Rhodict menjadi atlet terbaru menyertai program tersebut.
Stuart berkata, Bertrand turut menjadi atlet pertama yang terpilih untuk menyertai program Fast Track. Program ini yang memfokuskan kepada atlet berusia 16-25 tahun itu bakal bermula selepas tamat Sukan Olimpik 2024.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28