KELAB Liga Thailand, Police Tero FC mengumumkan pelantikan bekas pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih baharu pasukan mereka.
"Pengurusan Police Tero melantik Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih pasukan utama.
"Pelantikan Tan Cheng Hoe menyaksikan pengendali Yong Worrawoot Srimaka akan mengisi posisi pengarah teknikal kelab," kata kelab yang dikenali sebagai The Silver Shield Dragons tersebut.
Police Tero kini menduduki tangga ke-14 Liga Premier Thailand selepas mengharungi 19 perlawanan - lima menang, empat seri, 10 tewas - mengumpul 19 mata.
Selepas tewas 2-6 kepada Buriram United, Police Tero akan berdepan Nakhon Pathom United di Stadium:Boonyachinda, Sabtu ini.
Pada Rabu, Selangor mengumumkan kejutan apabila mengesahkan kelab dan Cheng Hoe mencapai persetujuan bersama untuk penamatan kontrak berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi kenyataan kelab itu, Cheng Hoe meninggalkan Selangor bagi menggalas tugas sebagai ketua jurulatih sebuah kelab di Thailand.
"Selangor FC juga telah menerima bayaran pampasan berdasarkan kontrak beliau
"Selangor FC ingin berterima kasih kepada Cheng Hoe atas usaha dan sumbangan beliau untuk Kelab ini dan mengucapkan selamat maju jaya pada masa hadapan," kata kenyataan itu.
Musim lalu Cheng Hoe telah membantu Selangor menjadi naib juara Liga Super 2023, sekaligus memastikan The Red Giants layak secara automatik ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2024/25.