Kerajaan diingatkan laksana MA63 sebelum Julai 2024

Iklan
Wilfred Madius Tangau

SHAH ALAM - Persidangan Dewan Rakyat sekali lagi diingatkan tentang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sebelum ini diumum akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang Julai tahun ini.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, sepatutnya tumpuan pada ketika ini difokuskan kepada penyediaan mekanisme pelaksanaan dan bukannya masih di peringkat rundingan.

Iklan
Iklan

"Sebagai contoh, pelaksanaan ‘revenue sharing’ dalam Perkara 112C dan Seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan iaitu pemberian Hak Perlembagaan kepada Sabah untuk mendapatkan ⅖ ataupun 40 peratus daripada jumlah pungutan hasil persekutuan daripada Sabah.

"Kenyataan 'kita adalah generasi pelaksana, oleh itu laksanakan saja MA63 tidak perlu lagi dirunding' terus berkumandang namun hakikatnya sehingga kini masih ada yang belum dilaksanakan dan ditunggu-tunggu oleh rakyat Sabah serta Sarawak," katanya dalam ucapan perbahasan pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, dalam hal tersebut ada dua perkara yang perlu dielakkan, pertama, iaitu proviso Perkara 112C tidak dikelirukan dengan proviso Perkara 112D.

Beliau berkata, seterusnya adalah Hak Perlembagaan Sabah dalam Perkara 112C itu hanya istimewa kepada Sabah sahaja.

Iklan

"Pada Tuaran, Perkara 112D hanya berbangkit apabila Perkara 112C telah diterima dan diiktiraf sebagai hak Sabah dan kerajaan bersetuju untuk melaksanakannya.

"Jika sekiranya kerajaan tidak mengiktiraf dan tidak melaksanakan Perkara 112C, maka Perkara 112D tidak berbangkit.

"Tetapi apabila dibentangkan pewartaan tempoh hari berkenaan dengan perkara ini, yang diungkit dan dibangkitkan adalah 112D yang sepatutnya tidak berbangkit kerana ia tidak dirujuk langsung tentang hak perlembagaan Sabah iaitu 112C," ujarnya.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu menjelaskan, pewartaan Warta Kerajaan Persekutuan pada 20 April 2022 iaitu Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) Tahun 2022, tidak ada kena mengena dengan langkah melaksanakan hak Perlembagaan Sabah dalam Hal Perkongsian Hasil.

"Demikian juga pada Warta Kerajaan Persekutuan Pada 24 November lalu iaitu Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) Tahun 2023.

"Oleh itu, Tuaran meminta Kerajaan Persekutuan supaya mengambil langkah-langkah positif untuk menyediakan mekanisme melaksanakan tuntutan Hak Perlembagaan Sabah tersebut," katanya yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).