SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendukung penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertajuk 'Ketinggian Islam wajib dipertahankan' pada 20 Februari lalu.
Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) AMK, Ashraf Hadi berkata, Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menunjukkan kepekaan dan kesedaran terhadap potensi bahaya yang akan timbul akibat kenyataan provokatif tersebut.
"Dukacita yang disuarakan baginda mencerminkan keprihatinan mendalam terhadap keselamatan dan kesejahteraan umat Islam, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu yang mungkin terpengaruh dengan kenyataan berkenaan.
"Selain itu, ia juga untuk memperkukuhkan perpaduan umat Islam dan keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.
Selangor Royal Office dalam kenyataan memaklumkan, Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat MKI pada 15 Februari lalu.
Menurut kenyataan itu, Abdul Hadi secara sinis mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata dianggap tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.
Tambah Ashraf, nasihat Sultan Sharafuddin itu juga bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Iman Ahmad.
"Ia bermaksud, mahukah aku khabarkan kepada kamu orang yang paling jahat dalam kalangan kamu iaitu mereka yang suka mengadu domba, memecah-belahkan antara orang-orang berkasih sayang, mencacatkan orang-orang yang suci dengan kata-kata jahat.
"Tindakan dan reaksi Sultan Selangor ini seharusnya didukung sepenuhnya oleh semua pihak sebagai wujud komitmen terhadap memelihara ketenteraman dan keharmonian negara ini.
"Pas juga perlu menyatakan pendirian terhadap titah baginda ini,” ujarnya