MARGATE - Ribuan tapak sulaiman atau bintang laut terdampar di pantai Kent, United Kingdom (UK), yang sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai amaran bencana alam berkemungkinan terjadi di daerah itu, lapor Sky News.
Haiwan akuatik itu dikesan terdampar antara Margate Winter Gardens dan Lido di Pantai Margate pada Isnin.
Gambar yang dimuat naik dalam Facebook penduduk tempatan mendapati ribuan tapak sulaiman yang dipercayai sudah mati memenuhi pantai rekreasi manakala kelihatan orang ramai mula membanjiri kawasan itu bagi melihat sendiri fenomena pelik itu.
Majlis Daerha Thanet berkata, mereka menyedari fenomena itu dan percaya ia berkemungkinan berpunca daripada ombak kuat dan angin darat yang berlaku baru-baru ini.
"Kami memahami kebimbangan orang ramai apabila hidupan laut ditemui di pantai daerah ini.
"Kami melaporkan semua tapak sulaiman itu kepada Brtish Divers Marine Life Rescue dan mereka sudah mengumpul semua bangkai hidupan laut itu," katanya.
Justeru, majlis tempatan memberi amaran kepada penduduk untuk menjauhkan haiwan seperti anjing serta kanak-kanak daripada menghampiri kawasan pantai itu.
Kejadian sama pernah berlaku Kdi sebuah pantai di Ramsgate, Kent pada 2018, yang terletak kurang daripada 10 kilometer dari Pantai Margate. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28