Individu ada aset, kekayaan tidak setimpal laporan cukai dalam radar LHDN

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (depan; tiga dari kiri) bergambar kenangan pada majlis sambutan Hari Hasil 2024 di Menara Hasil Cyberjaya, hari ini. - Bernama

CYBERJAYA - Individu yang mempunyai aset dan kekayaan tidak setimpal dengan pelaporan cukai kini berada dalam radar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Tegas Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, pihaknya akan memberi tumpuan penuh kepada isu ketirisan cukai oleh individu terbabit.

Iklan
Iklan

"Mereka yang mempunyai pendapatan dari Malaysia dan disimpan di dalam akaun luar negara yang belum dilapor, transaksi rentas sempadan, harga pindahan domestik, aktiviti atas talian dan kes-kes ekonomi bayangan juga tidak terkecuali," katanya berucap di Majlis Sambutan Hari Hasil 2024 pada Jumaat.

Menurutnya, LHDN berjaya mencapai kutipan cukai tertinggi dalam sejarah iaitu RM184.34 bilion pada tahun lalu.

Iklan

"Nisbah kutipan tersebut terhadap KDNK ialah sebanyak 9.91 peratus yang juga lebih tinggi daripada kadar nisbah cukai langsung KDNK bagi negara-negara di Asia Pasifik yang dalam lingkungan lapan peratus," jelas beliau.

Abu Tariq berkata, pegawai dan kakitangan LHDN tidak lupa dan selesa meskipun telah mencapai kejayaan tersebut, sebaliknya terus merangka strategi bagi memastikan sasaran kutipan cukai negara, RM197 billion dicapai pada tahun ini.

Iklan

Tambahnya lagi, selepas 28 tahun penubuhan, LHDN telah mencapai pelbagai kejayaan yang cemerlang dari segala aspek pentadbiran percukaian, pembentukan modal insan dan aplikasi teknologi terkini.

"Yang terbaharu, LHDN telah diiktiraf sebagai pemenang anugerah Most Impactful Public Sector Agency Driving Digital Adoption bagi sistem MyTax dan Anugerah Emas bagi Integriti, Governans dan Antirasuah 2023 oleh Insititut Integriti Malaysia," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28