Imam Abu Hanifah sisih jawatan demi tolak kezaliman

Iklan
KETOKOHAN Imam Abu Hanifah begitu menonjol dalam bidang hadis dan fiqh.

Keteguhan hati ilmuan Islam tersohor itu semata-mata untuk meraih keredaan ALLAH

WALAUPUN memiliki ilmu yang hebat, namun saat ibunya menolak fatwa daripadanya, Imam Abu Hanifah bingkas membawa insan kesayangannya itu bertemu dengan individu dipercayai.

Bayangkan sampai begitu sekali layanan diberikan pengasas Mazhab Hanafi itu kepada orang tuanya. Jelas betapa beliau hormat dan taat kepada wanita yang mengandung, melahirkan dan membesarkannya.

Iklan
Iklan

Kisah yang dirakamkan dalam kitab Tarikh Baghdad aw Madinah as-Salam karya Imam al-Khatib al-Baghdadi itu begitu menyentuh sanubari. Ya, jarang sekali kita lihat situasi itu berlaku zaman sekarang.

Menyelak lembaran sirah, sisi kehidupan dan keperibadian yang dimiliki ulama tersohor itu begitu menginsafkan.

Iklan

Jika ditelusuri, pemilik nama sebenar Nu’man bin Tsabit bin Zauta bin Mah berketurunan Parsi, tetapi ayahnya telah berpindah ke Kufah, Iraq sebelum kelahirannya.

Beliau dilahirkan di sebuah kampung bernama Anbar di kawasan berkenaan pada tahun 80 Hijrah bersamaan 699 Masihi.

Iklan

IMAM ABU HANIFAH dikatakan berguru dengan 4,000 orang termasuk ulama tabiin tersohor seperti Ibnu Syihab dan Qatadah.

Pernah bertemu sahabat Nabi

Lebih istimewa lagi, figura itu antara insan bertuah apabila pernah bertemu dengan sahabat Nabi Muhammad SAW yang masih hidup ketika zamannya. Antaranya Anas bin Malik, Abdullah bin Haris dan Abdullah bin Abi Aufah RA.

Hasil pembacaan Sinar Islam, rupanya nama Abu Hanifah itu hanya gelarannya sahaja. Menurut laporan Surau.co, ia diambil daripada nama puteranya yang diberi nama Hanifa.

"Dalam versi lain, gelaran itu diperoleh kerana kalimah hanif dalam bahasa Arab bererti cenderung atau condong.

"Nama itu ‘melekat’ dengannya kerana beliau merupakan seorang penyembah (atau hamba) ALLAH yang rajin dan tulus memenuhi kewajiban agamanya,” lapor laman web itu.

Melihat kesungguhan dan kecerdikannya, Asy-Sya’bi kemudian menyarankan agar Imam Abu Hanifah memfokuskan kepada gagasan ilmu.

Dengan bimbingan Asy-Sya’bi, figura hebat itu banyak mempelajari ilmu qiraat, hadis, sastera, puisi, teologi dan ilmu-ilmu lain yang berkembang ketika itu.

"Antara ilmu yang menjadi kegemarannya ialah teologi (berkaitan agama atau tuhan). Barangkali sebab itulah beliau merupakan antara tokoh paling dihormati.

"Dek kerana ketajaman fikirannya, beliau mampu menangkis serangan doktrin khawarij yang sangat ekstrem pada masa itu,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Surau.co.

IMAM ABU HANIFAH pernah bertemu dengan sahabat Nabi Muhammad SAW yang masih hidup ketika zamannya. Antaranya Anas bin Malik, Abdullah bin Haris dan Abdullah bin Abi Aufah.

Berguru dengan 4,000 orang

Tidak hairanlah mengapa namanya sering meniti di bibir masyarakat dan alim ulama pada zamannya sehingga menjadi ulama besar serta terkenal di seluruh kota besar.

Memetik laman web ikram.com, Asy-Syaibani menyebut:"Jika diukur berat pengetahuan yang dimiliki oleh Imam Abu Hanifah dengan manusia yang hidup bersamanya, nescaya ilmunya memiliki kadar timbangan yang lebih berbanding mereka.”

Daripada pelbagai cabang ilmu, ketokohan Imam Abu Hanifah begitu menonjol dalam bidang hadis dan fiqh.

Ia sehinggakan Imam Asy-Syafie dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala’ mengatakan:"Manusia bergantung dan terhutang budi kepada Abu Hanifah dalam bidang fiqh.”

Sementara itu, Yahya bin A’zham menerusi karyanya, Tarikh al-Asma’ ath-Thiqaat menyatakan:"Abu Hanifah telah menghimpunkan seluruh hadis yang ada di Kufah pada zamannya.”

"Terlalu banyak konflik yang berlaku antara beliau dan pemerintah pada zamannya sehinggakan Imam Abu Hanifah terpaksa melawan mereka atas kezaliman yang dilakukan,” katanya.

Ketika ditawarkan jawatan kadi besar dalam Kerajaan Abbasiyah, Imam Abu Hanifah menolaknya. Akibatnya, beliau dihukum penjara dan diseksa.

Biarpun mendapat layanan sebegitu, namun tatkala ibunya datang memujuk, portal berita Republika melaporkan, Imam Abu Hanifah berkata:"Wahai ibu, jika saya inginkan kemewahan hidup di dunia ini, sudah tentu saya tidak akan dipukul atau dipenjarakan.

"Namun, saya mengharapkan keredaan ALLAH semata-mata dan memelihara ilmu yang saya peroleh. Saya tidak akan memalingkan ilmu yang saya pelihara selama ini kepada kebinasaan yang dimurkai ALLAH,” katanya.

Figura hebat itu akhirnya meninggal dunia pada usia 68 tahun. Ada riwayat lain menyatakan pada umur 70 tahun dan dikebumikan di Baghdad, Iraq.

PROFIL

ILUSTRASI IMAM ABU HANIFAH

Nama penuh: Nu’man bin Tsabit bin Zauta bin Mah

Gelaran: Imam Abu Hanifah

Asal: Kufah, Iraq

Tahun kelahiran: 699 Masihi

Tahun kematian: 767 Masihi

Karya agung: al-Faraid, asy-Syurut dan al-Fiqh al-Akbar

Sumbangan: Ulama pertama menyusun kitab fiqh mengikut bab dengan tersusun dan membuat penyusunan teliti tentang cara-cara mengeluarkan sesuatu hukum berdasarkan kaedah-kaedah tertentu