BANTING - Seorang wanita yang berperanan sebagai 'ibu ayam' serta dua pelacur wanita warga Indonesia dilanjut reman lima hari lagi untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, lanjutan reman ketiga-tiga suspek berusia 45 hingga 57 tahun itu bermula Jumaat hingga Selasa depan.
"Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan seorang wanita berusia 25 tahun yang diselamatkan selepas disyaki dipaksa suspek (ibu ayam) untuk melacur turut berada di bawah perlindungan serta pemantauan pihak polis," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang, 22 Februari lalu, polis menyelamatkan mangsa iaitu seorang wanita dan kanak-kanak perempuan disyaki dieksploitasi sebagai pekerja seks di sebuah premis di Banting.
Serbuan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat itu turut menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun serta bayi lelaki berusia 11 bulan.
Sinar Harian melaporkan, siasatan awal mendapati bayi terbabit dipercayai anak kepada mangsa wanita berusia 25 tahun.
Kegiatan 'ibu ayam' terbabit dipercayai telah aktif sejak dua bulan lalu dengan sasaran di kalangan warga asing sebagai pelanggan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28