SHAH ALAM - Satu akta khusus digubal mewajibkan syarikat peroleh keuntungan melepasi ambang tertentu perlu membayar bantuan perayaan sebanyak sebulan gaji kepada pekerja kategori B40 dan M40 perlu diwujudkan.
Penasihat Buruh Antarabangsa, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D'angelus berkata, sudah tiba masanya semua ahli Parlimen tanpa mengira parti mempertahankan rakyat yang sepatutnya mereka wakili.
Menurutnya, pelbagai pembaharuan diperlukan untuk memastikan setiap rakyat Malaysia meraih manfaat daripada iklim ekonomi positif yang disebut Bank Negara.
"Sebagai permulaan, perlu ada perundangan bahawa syarikat yang melaporkan keuntungan melepasi ambang tertentu patut membayar gaji sebulan sebagai bantuan perayaan kepada semua pekerja dalam kategori B40 dan M40.
"Tentangan berterusan perniagaan dan pertubuhan majikan terhadap apa saja yang bersifat saksama terhadap kumpulan pendapatan rendah bukan disebabkan mereka tidak mampu.
"Sebaliknya ia usaha menetapkan kuasa dan dominasi terhadap rakyat Malaysia dari kumpulan pendapatan rendah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Callistus mendakwa, dunia korporat dilihat tidak berusaha demi kepentingan Malaysia dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya apabila pendekatan yang dilakukan sekadar untuk jangka pendek dan fokus mengkayakan diri sendiri.
Justeru ujarnya, pembulian korporat atau Sikap ‘machoism’ korporat seumpama itu patut dihalang oleh Parlimen.
"Ahli Parlimen patut mendedikasikan sesi Parlimen ini ke arah membaiki ketakseimbangan yang begitu menjejaskan golongan pekerja miskin negara ini," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28