Usaha kurangkan defisit fiskal perlu diteruskan - PM Anwar

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Sambutan Hari Hasil 2024 di Menara Hasil Cyberjaya hari ini. Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu usaha untuk mengurangkan defisit fiskal negara diteruskan agar ia tidak membebankan generasi akan datang.

Beliau berkata, usaha dan inisiatif berterusan itu penting untuk negara mencapai sasaran defisit fiskal yang lebih rendah dan pada masa yang sama dapat terus mengembalikan keyakinan pelabur dalam dan luar negara untuk melabur di negara ini.

Iklan
Iklan

"Pelaburan (negara) masuk dengan rekod tertinggi dalam sejarah kerana keyakinan pelabur domestik dan luar.

"Inflasi kita juga berada di tahap rendah dan kadar pengangguran juga kian rendah,” kata beliau pada Majlis Sambutan Hari Hasil ke-28 di sini pada Jumaat.

Iklan

Sehingga akhir Disember 2023, jumlah keseluruhan hutang kerajaan adalah sebanyak RM1.17 trilion atau 64.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pertumbuhan hutang pada 2023 ialah 8.6 peratus lebih rendah berbanding 2022 yang mencatatkan 10.2 peratus.

Iklan

Malaysia sebelum ini dilaporkan telah mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022, sekali gus menjadikannya yang tertinggi dalam sejarah negara.

Bagi tahun ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata prospek pelaburan Malaysia dijangka kekal cerah dengan pertumbuhan minimum sekurang-kurangnya lapan peratus hingga 10 peratus.

Sementara itu, Anwar berkata walaupun negara kini dicabar dengan kejatuhan nilai ringgit tetapi Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Jawatankuasa Dasar Monetari telah mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mengekang mata wang tempatan daripada terus menjunam.

"Tidak wajar untuk dikaitkan dengan soal ringgit (yang rendah) padahal inflasi kita juga berada di paras yang rendah.

"Semasa berlaku krisis kewangan 1998, nilai ringgit jatuh merudum dan inflasi terus melonjak. Pelaburan juga tiada, pengangguran meningkat dan syarikat yang jatuh muflis mencecah ratusan ribu.

"Hal sedemikian tidak berlaku pada masa ini dan kita harus melihat dalam konteks keseluruhan,” kata beliau. - Bernama