SUNGAI PETANI - Seorang warga emas ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang anggota polis yang terkena tembakan semasa operasi di Hutan Simpan Ulu Muda, Sik, pada Khamis.
Perintah reman dibenarkan selama enam hari bermula Jumaat ke atas lelaki berusia 65 tahun itu oleh Majistret Noor Fazlina Musa di Kompleks Mahkamah Sungai Petani.
Perintah reman bertujuan membantu siasatan membabitkan Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa, polis telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan membabitkan kes seorang anggota polis cawangan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang terkena tembakan di kawasan Kompartmen 124 Hutan Simpan Ulu Muda, pada awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, suspek ditahan pada jam 2 petang, ketika hadir ke Balai Polis Sik untuk menyerah diri.
Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai maut akibat terkena tembakan semasa menyertai operasi menyiasat pencerobohan dan pemburuan haram di kawasan kompartmen tersebut.
Difahamkan, pada kira-kira jam 3 petang Rabu, mangsa bersama dua orang awam dipercayai bergerak ke kompartmen 124 di dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Muda dengan menggunakan kenderaan awam untuk membuat pemerhatian dan menjalankan siasatan.