KUALA TERENGGANU - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyatakan bahawa beliau bersikap terbuka berhubung keputusan kerajaan Terengganu ingin mengekalkan nama Pasar Payang.
Kor Ming turut berkata, keputusan itu diterima dengan baik meskipun pasar berkenaan merupakan projek Kerajaan Persekutuan.
"Saya tiada masalah menerima keputusan ini walaupun ia adalah projek kerajaan Persekutuan berharga RM70 juta.
"Niat saya baik, jadi jangan ada cuba cerca mencerca. Ini bukan budaya Malaysia Madani," katanya di hantaran X pada Khamis.
Pada Rabu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan agar Pasar Payang 1 dijenamakan semula sebagai Central Market@ Pasar Payang bagi menjadikan Terengganu sebagai destinasi budaya dan warisan negara kepada pelancong luar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, usaha itu juga dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Pasar Payang sekali gus menjadikan ia sebagai pasar pelancongan dengan menawarkan persekitaran yang menarik dan moden.
Susulan itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menukar nama Pasar Payang kepada suatu nama yang lain.
Ahmad Samsuri berkata, ini kerana nama pasar itu sendiri mempunyai sejarahnya tersendiri yang sudah dekat dengan hati rakyat tempatan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28