Jangan salah guna sijil halal, kalimah ALLAH

Iklan
Beberapa restoran sekitar Bukit Tinggi yang diperiksa bagi memastikan sentiasa mematuhi undang-undang dalam operasi bersepadu, hari ini.

KLANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor hari ini mengingatkan pemilik premis restoran agar tidak sesekali mengelirukan pengguna ketika menjalankan perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, selain perlu sentiasa mematuhi syarat ditetapkan seperti lesen perniagaan, keperluan mempamerkan tanda harga serta aspek kebersihan, pemilik restoran juga diberi amaran dari segi penggunaan tulisan dan kalimah tertentu bagi tujuan memberi gambaran halal kepada pengguna Muslim.

Iklan
Iklan

Menurutnya, adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana pemilik premis yang melakukan perbuatan sedemikian tanpa memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (Halal) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Kita mahu ingatkan pemilik restoran daripada membuat apa jua tindakan yang membawa representasi atau perbuatan yang boleh memperdayakan atau mengelirukan pengguna seolah-olah premis mereka menjual makanan atau minuman yang halal.

Iklan

"Pihak kementerian juga sangat menitikberatkan soal halal ini sebagai sebagai satu bentuk perlindungan kepada pengguna, tahun lepas sahaja kita menerima sejumlah 22 aduan berkaitan isu halal dan enam daripadanya menghasilkan kes," katanya ketika sidang media selepas operasi dan pemeriksaan bersepadu ke atas beberapa premis restoran, hari ini.

Jelasnya, pada dasarnya penggunaan tulisan jawi di premis restoran yang tidak memiliki sijil Halal adalah dibenarkan pada tahap tertentu selagi tidak memberikan gambaran yang salah kepada pengguna.

Iklan

"Saya ingin tekankan, penggunaan tulisan jawi atau yang menyerupai jawi selagi tidak mengelirukan pengguna tidak menjadi kesalahan, contohnya guna untuk sekadar tulis nama restoran.

"Namun jika dipamerkan di ruang dalam restoran seperti penggunaan kalimah seperti ALLAH yang mengelirukan, itu menjadi kesalahan dan kita perlu lihat kembali.

"Justeri, kita harap perkara-perkara yang boleh mencetuskan panik dan kekeliruan di kalangan pengguna dapat dielakkan," katanya

Terdahulu, laporan polis oleh pemilik sebuah retoran di Shah Alam selepas salah seorang pekerjanya ditampar pelanggan menjadi isu hangat di kalangan netizen apabila salinan laporan polis berkenaan turut mendedahkan restoran itu dimiliki seorang bukan Muslim.

Dengan penggunaan beberapa tulisan jawi termasuk kalimah ALLAH dan MUHAMMAD di ruang dalam restoran, ia sekaligus mencetuskan perdebatan berkaitan isu halal apabila kebanyakan pelanggan menganggap restoran berkenaan diusahakan oleh pemilik Muslim.

Sementara itu, operasi yang bermula sejak semalam itu turut disertai agensi seperti Majlis Perbandaran Klang (MPK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Sebanyak tiga kompaun dikeluarkan kepada pemilik restoran di sekitar Bukit Tinggi masing-masing melibatkan kesalahan aspek kebersihan, halangan serta kesalahan membabitkan lesen perniagaan.