KUALA LUMPUR - Gara-gara didakwa bersikap biadab, seorang pemandu e-hailing cedera dipukul sekumpulan individu dalam kejadian dekat Taman Bukit Cheras di sini menerusi video tular pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, semakan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang, 26 Februari lalu.
Beliau berkata, kejadian berlaku apabila mangsa hampir melanggar seorang penunggang motosikal ketika hendak mengundurkan keretanya.
"Penunggang motosikal terbabit mengangkat tangan menunjukkan isyarat tidak berpuas hati dan beredar dari lokasi itu.
"Masa sama, mangsa didatangi tiga lelaki warga tempatan dari gerai berdekatan yang memarahi mangsa dengan mendakwa mangsa bersikap biadap terhadap penunggang motosikal terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, ketiga-tiga suspek terbabit kemudiannya memukul mangsa mengakibatkannya mengalami kecederaan, namun kejadian tersebut berjaya dileraikan orang awam di lokasi terbabit.
"Siasatan dijalankan bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan siasatan terperinci sedang dilakukan untuk mengesan kesemua suspek yang terlibat dalam kejadian ini," katanya.
Pada Jumaat, tular video memaparkan seorang pemandu e-hailing dipukul sekumpulan individu.
Kejadian berlaku selepas mangsa dipercayai hampir melanggar seorang penunggang motosikal di lokasi kejadian.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28