Dasar pemerkasaan bumiputera perlu pendekatan lebih sejagat

Iklan
Abdul Wahid menyampaikan pembentangan bertajuk Penguasaan Korporat dan Penciptaan Kekayaan pada KEB 2024 di PICC pada Jumaat. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Usaha pelaksanaan dasar pemerkasaan bumiputera perlu mengambil pendekatan lebih sejagat, dilaksanakan di peringkat nasional dan tidak hanya semata-mata tertumpu kepada golongan itu, kata Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Malah, penekanan dasar itu perlu dalam konteks bagi menjadikan Malaysia sebuah negara makmur, inklusif serta mampan dan tiada golongan yang ketinggalan.

Iklan
Iklan

Dalam pembentangannya sebagai Pengerusi Libat Urus Penguasaan Korporat dan Penciptaan Kekayaan di Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 pada Jumaat, beliau berkata, pendekatan sejagat itu perlu menerapkan konsep kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang turut melibatkan elemen kesaksamaan sosial.

Beliau berkata, walaupun pelaksanaan usaha pemerkasaan bumiputera sejak enam dekad lepas menyaksikan pencapaian peningkatan golongan profesional, sebaliknya aspek lain seperti pendapatan, upah dan pemilikan aset masih amat rendah dan jauh ketinggalan.

Iklan

"Pertamanya, upah di Malaysia adalah rendah iaitu median berjumlah RM2,600 manakala dari segi kaum, median upah bumiputera sekitar RM2,200 iaitu 45 peratus kurang berbanding median pendapatan kaum Cina RM4,000,” katanya.

Abdul Wahid berkata, punca utama keadaan itu adalah pendekatan menumpukan sektor awam yang hanya menyumbang 17.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding swasta sebanyak 76.2 peratus.

Iklan

"Jika kita tidak melebarkan dasar kepada sektor swasta, pencapaian bumiputera akan terus rendah. Amat penting kepelbagaian ekuiti dan keterangkuman dilaksanakan di sektor swasta yang merupakan pemacu utama ekonomi negara supaya keberkesanannya dapat ditingkatkan,” kata beliau.

Menyentuh resolusi pelbagai sesi libat urus bagi penciptaan kekayaan dan penguasaan korporat KBE 2024 itu, Abdul Wahid berkata, tumpuan merangkumi aspek yang bermula dengan pendidikan, pekerjaan, pelaburan dan seterusnya penciptaan kekayaan.

Ini turut melibatkan inisiatif memberi peluang saksama dari segi pekerjaan dan menyertai perniagaan tanpa diskriminasi manakala pembangunan modal insan menyeluruh pula perlu merangkumi penguasaan bahasa ketiga seperti Mandarin, Tamil, Arab dan Jepun.

"Penguasaan bahasa dapat meningkatkan peluang. Adalah penting bagi bumiputera menguasai bahasa Mandarin berikutan kedudukan China sebagai rakan dagang, pelabur utama kita serta bakal menjadi ekonomi terbesar dunia.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan penubuhan satu pangkalan data bersepadu bagi menilai pemilikan aset bumiputera bagi membolehkan dasar bersesuaian dapat dirangka.

Menyentuh syor bagi memperkenalkan Akta Kesaksamaan, beliau berkata, apa lebih penting adalah memperkenalkan dasar peluang saksama terlebih dahulu sebelum mewujudkan satu akta khusus.

"Jika dasar secara galakan tidak berkesan, mungkin akta perlu diperkenalkan. Pada masa ini, dasar sudah memadai jika semua rakyat Malaysia dapat menerima semangat hasrat kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman,” katanya.

Abdul Wahid berkata, resolusi sesi libat urus KBE 2024 itu turut mengetengahkan cadangan mewujudkan dana pemangkin bagi meningkatkan prestasi korporat di Malaysia dan memastikan syarikat di negara ini mengguna pakai elemen kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman.

Cadangan lain melibatkan usaha meningkatkan dana wakaf tunai dengan skala besar untuk disalurkan bagi pembangunan sosioekonomi dalam bidang pendidikan dan kesihatan, katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28