Pesara polis hidup gelandangan dapat perhatian

Iklan
Pesara polis yang tular kerana hidup gelandangan di sebuah premis rumah kedai terbiar di Seremban Jaya, Senawang, di sini, dibantu polis dari IPD Seremban, semalam. Foto Ihsan PDRM

SEREMBAN - Nasib seorang pesara polis yang tular hidup gelandangan di sebuah rumah kedai terbiar di Seremban Jaya di sini mendapat perhatian Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban pada Khamis.

Difahamkan, warga emas lelaki berusia 62 tahun itu tinggal bersendirian di situ dalam keadaan serba kekurangan sejak lebih tiga bulan lalu kerana didakwa mempunyai masalah peribadi dengan keluarga.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Hatta Che Din berkata, sepasukan polis telah turun ke lokasi bagi melihat keadaan sebenar lelaki terbabit.

"Sebelum ini tular di beberapa kumpulan Whatsapp dan media sosial berkenaan seorang pesara polis hidup terbiar di sebuah rumah kedai. Berdasarkan laporan itu, kami menziarahi lelaki berkenaan.

Iklan

Menurutnya, berdasarkan temu bual dengan warga emas berkenaan, dia memaklumkan menghadapi masalah peribadi dengan keluarga.

Sehubungan itu katanya, pihaknya telah memujuk lelaki terbabit untuk tinggal sementara waktu di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), berikutan tempat tinggalnya ketika ini dilihat tidak sesuai.

Iklan

"Dia memaklumkan sudah tinggal di rumah kedai itu sejak tiga bulan. Namun, berdasarkan isu yang tular dan keadaan di lokasi, kami mendapati dia tinggal di situ dalam tempoh masa yang lebih lama.

"Kami juga difahamkan yang sebelum ini pihak JKM pernah membantu pesara ini, namun dia enggan dan berkeras tidak mahu dibantu," katanya.

Selain itu katanya, pihaknya turut meminta Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk menyemak aduan yang mengatakan lelaki terbabit tidak mendapat wang pencennya.

Sementara itu, kata Mohd Hatta, antara yang ke lokasi melawat lelaki berkenaan ialah Ketua Bahagian Pengurusan Daerah (KBPD) Seremban, Deputi Superintendan Khairi Jamaludin; Ketua Polis Balai Paroi, Sarjan Mejar Rahman Wasis dan Timbalan Ketua Polis Balai Senawang Sarjan Mejar Mohd Iskandar Adam.