MARAN - Hasrat seorang peniaga pasar malam dari Kuala Kangsar, Perak untuk menyertai acara RXZ Fighter Gathering 2024 di Kuantan tidak kesampaian apabila dia maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 166.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur di sini pada Jumaat.
Dalam kemalangan kira-kira jam 10.55 pagi itu, mangsa, Muhammad Lokman Abdul Aziz, 29, beralamat dari Kampung Talang Masjid, Kuala Kangsar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ bersama rakan-rakan dalam perjalanan daripada Kuala Kangsar menghala ke Kuantan untuk menghadiri acara permotoran itu.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri.
"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Mohamad Zamri berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya
Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28