KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menyekat tiga kontena mengandungi ayam beku yang disyaki mengelak daripada dikenakan cukai membabitkan nilai RM186,300 di Pelabuhan Sepanggar di sini pada 2 dan 8 Februari lalu.
Ayam beku lebih 80,000 kilogram itu dianggarkan bernilai RM931,500.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, bertindak atas maklumat diperoleh oleh cawangan risikan, JKDM Sabah membuat pemeriksaan terhadap tiga kontena yang tiba dari Pelabuhan Klang, Selangor.
"Kontena ini diikrarkan mengandungi barang dagangan ayam beku bahagian dada dan tulang paha ayam dan hasil pemeriksaan fizikal mendapati dagangan yang dimuatkan dalam kesemua kontena adalah daging ayam beku yang terdiri daripada bahagian dada ayam dan tulang paha ayam.
"Ketiga-tiga kontena mengandungi muatan daging ayam beku berasal dari Thailand dan di bawah masuk ke negara ini melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 16 Januari lalu dengan menggunakan borang kastam nombor lapan (in-transit) menggunakan mod darat dan destinasi seterusnya adalah ke Pelabuhan Klang.
"Hasil semakan mendapati pengimport menggunakan borang K3 dan ini adalah tidak betul mengikut Peraturan Kastam mengenai pemindahan barang berstatus 'in-transit' kerana didapati kontena-kontena ini melakukan aktiviti in-transit di Zon Bebas Pelabuhan Klang," katanya dalam sidang akhbar di Pelabuhan Sepanggar di sini pada Jumaat.
Mohd Nasir berkata, sepatutnya, barang dagangan itu diikrar menggunakan Borang Kastam K1.
Katanya lagi, modus operandi kes ini ialah pihak syarikat dan ejen terlibat cuba mengelak daripada dikenakan cukai tanpa menggunakan Borang Kastam Nombor 1.
Sehubungan itu, beliau berkata tindakan tersebut dianggap sebagai cubaan menyeludup ayam beku berkenaan.
"Semua barang dagangan disita.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(g), Akta Kastam 1967 dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya jabatan bagi tindakan selanjutnya selepas siasatan selesai.
"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan itu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," jelasnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28