Jangan guna agama capai hasrat politik - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid (tiga dari kiri) merasmikan Surau Bergerak Bas Dua Tingkat Jawi sempena sambutan Jubli Emas Jawi 2024 di Masjid Putra, pada Jumaat. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Semua pihak terutama pemimpin-pemimpin parti diingatkan untuk tidak menggunakan agama sebagai tunggangan untuk mencapai hasrat politik, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap kepada media selepas merasmikan Surau Bergerak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) 2.0, di sini pada Jumaat, beliau berkata, soal berkaitan agama, hukum dan fatwa harus dijadikan sebagai batu sempadan apabila memberikan pandangan dan pendapat mengenai sesuatu perkara.

Iklan
Iklan

"Jika masalah-masalah hukum sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran, hadis, kias dan ijtima' ulama, saya tidak perlu nasihatkan mana-mana pemimpin parti yang ada latar belakang agama untuk mengikut landasan itu, tetapi jangan gunakan agama sebagai tunggangan untuk mencapai hasrat politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dukacita terhadap kenyataan dikeluarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Iklan

Ahmad Zahid berkata, nasihat itu bukan ditujukan kepada individu dan pemimpin parti politik sahaja, sebaliknya juga kepada pemimpin dalam UMNO.

Terdahulu Sultan Sharafuddin menerusi hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office semalam menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan sinis Ahli Parlimen Marang itu, bertajuk 'Ketinggian Islam wajib dipertahankan' yang dikeluarkan pada 20 Februari lepas menerusi portal berita pas.org.my.

Iklan

Sultan Sharafuddin bertitah ia adalah kenyataan yang amat tidak bersesuaian malah tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan serta nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

Sementara itu, mengenai surau bergerak Jawi 2.0, Ahmad Zahid berkata, kerajaan amat menggalakkan mana-mana syarikat untuk berwakaf demi kebaikan masyarakat.

"Saya bagi pihak kerajaan amat mengalu-alukan usaha-usaha wakaf surau bergerak ini dan ia sangat-sangat baik khususnya apabila ada acara-acara yang tidak ada surau di tempat itu, ia boleh digunakan.

"Saya harap ada lagi syarikat-syarikat swasta, bukan saja syarikat pengangkutan, tetapi syarikat-syarikat lain yang boleh menyambung usaha untuk mewakafkan bas untuk dijadikan surau bergerak seperti ini," katanya.

Sementara itu, Jawi dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata surau bergerak JawiI 2.0 itu adalah hasil kerjasama dengan syarikat Konsortium E-Mutiara Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd bagi melaksanakan pengubahsuaian sebuah bas dua tingkat, yang bukan sahaja boleh digunakan untuk menunaikan solat tetapi berfungsi sebagai sudut aktiviti keagamaan dan dakwah bergerak.

Bas dua tingkat bernilai RM350,000 itu disumbangkan oleh syarikat Konsortium E-Mutiara manakala kos pengubahsuaian disumbangkan oleh CIMB Islamic Bank dan individu melalui zakat wakalah berjumlah RM200,000.

Surau bergerak Jawi 2.0 mampu menampung kapasiti seramai 35 orang jemaah dalam satu-satu masa serta memiliki ruang solat dengan kemudahan seperti permaidani, sejadah, telekung, pembesar suara, dan penyaman udara.

Bahagian penumpang bas berkenaan diubah suai menjadi ruang solat dan aktiviti yang selesa manakala tempat penyimpanan barang diubahsuai bagi penyimpanan bekalan air dan paip untuk mengambil wuduk.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28