Rapid Bus perjelas isu pelancong tak dapat naik Rapid KL

Iklan
Rakaman video tular papar pelancong dari Jerman terpaksa turun dari bas susulan tidak memiliki TnG untuk membuat pembayaran tambang.

KUALA LUMPUR - Rapid Bus menjelaskan bahawa pihaknya telah melaksanakan mod pembayaran tanpa tunai sejak 2019 untuk semua perkhidmatan bas Rapid KL serta bas perantara Transit Aliran Massa (MRT).

Rapid Bus dalam satu kenyataan berkata, kaedah itu dilaksanakan bagi memudahkan pengguna kerana pembayaran tambang boleh dibuat dengan satu sentuhan kad sahaja.

Iklan
Iklan

Berhubung isu pelancong dari luar negara yang tidak dapat menggunakan perkhidmatan bas Rapid KL kerana tidak mempunyai kad Touch ‘n Go (TnG), Rapid Bus dalam kenyataan sama turut memohon maaf di atas sebarang kesulitan dialami pengguna berkenaan.

Katanya, pihak syarikat akan mengambil cakna mengenai kekurangan, sama ada dari segi ketersediaan maklumat mahu pun khidmat yang diberikan oleh kakitangan barisan hadapan.

Iklan

"Rapid KL akan berusaha ke arah memperhalusi lagi latihan bagi kakitangan barisan hadapan serta mempertingkatkan ketersediaan maklumat di semua saluran-saluran atas talian serta fizikal seperti di hentian-hentian bas untuk memudahkan perjalanan semua penumpang.

"Rapid Bus juga akan berhubung dengan organisasi yang berkaitan dengan industri pelancongan untuk menyebarkan maklumat tentang perkhidmatan bas di Lembah Klang dengan lebih baik dan berkesan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan sekumpulan pelancong dari Jerman meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat menggunakan kemudahan bas Rapid KL berikutan tiada akses kad TnG.

Sementara itu, Rapid Bus memberitahu, kad TnG boleh didapati di kaunter Khidmat pelanggan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT), MRT, Monorel, Transit Aliran Bas (BRT) dan hab bas terpilih selain stesen minyak dan kedai terpilih serta farmasi atau kios layan diri TnG.

"Selain itu, warganegara Malaysia pula boleh menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had My50, Pas MyCity yang bernilai RM5 (satu hari) atau RM15 (tiga hari) atau Kad Konsesi.

"Semua maklumat yang berkaitan telah disiarkan di laman web rasmi MyRapid serta di saluran media sosial Rapid KL serta aplikasi PULSE," katanya.

Tambah kenyataan itu, pengguna akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk membuat pembayaran selepas sistem pembayaran terbuka diperkenalkan bagi perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana pada 2025.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28