IPOH - Polis sedang menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) berhubung kes kenderaan rasmi menteri mengekori rapat ambulans dalam kecemasan, bulan lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah diserahkan kepada PPN Rabu lalu.
"Kertas siasatan telah lengkap dan dihantar lalu kepada pihak pendakwaan negeri untuk diteliti.
"Kes masih belum selesai lagi.
"Kita sekarang sedang menunggu arahan selanjutnya daripada PPN," katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di pekarangan Ibu Pejabat Polis (IPK) Perak di sini pada Jumaat.
Pada 8 Februari lalu, media melaporkan polis telah mengambil keterangan pemandu kepada seorang menteri susulan hantaran tular di media sosial melibatkan kenderaan rasmi menteri yang didakwa mengekori ambulans.
Insiden itu berlaku ketika ambulans berkenaan dalam perjalanan ke lokasi kemalangan di Kilometer 305 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) antara Simpang Pulai menghala ke Tapah pada 3 Februari lalu.
Pada 9 Februari lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa susulan insiden kenderaan rasmi dinaikinya didakwa mengekori rapat ambulans dalam kesesakan trafik.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28