Puasa, raya dorong peningkatan permohonan pinjaman

Iklan
Peningkatan permohonan pinjaman tersebut berkemungkinan sebagai persediaan modal untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri. Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Ketibaan bulan puasa dan disusuli sambutan Hari Raya Aidilfitri dipercayai mendorong peningkatan ketara jumlah permohonan pinjaman yang direkodkan pada Januari tahun ini.

Kenanga Research melalui nota penyelidikannya berkata, pertambahan itu menyaksikan sebanyak 40 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peningkatan permohonan pinjaman tersebut berkemungkinan sebagai persediaan modal untuk menyambut bulan kebesaran bagi majoriti rakyat di negara ini.

"Lebih banyak permohonan dilihat. Kami melihat peningkatan 40 peratus dalam permohonan, yang berkemungkinan berikutan kedatangan musim Hari Raya Aidilfitri hampir tiba, justeru mendorong bakal peminjam untuk menyediakan keperluan modal mereka," katanya.

Iklan

Kenanga Research melalui nota penyelidikan sama turut memaklumkan terdapat kemerosotan permohonan pinjaman sebanyak satu peratu pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, penurunan tersebut kemungkinan berpunca permohonan tinggi dicatatkan pada Disember 2023 bagi memenuhi permintaan awal tahun.

Iklan

Pada Januari tahun ini katanya, sistem pinjaman meningkat sebanyak 5.7 peratus, sekali gus berada dalam unjuran 5.5 peratus hingga 6.0 peratus yang disasarkan pihaknya bagi 2024.

Tambahnya, berdasarkan rekod tersebut mendapati pinjaman kediaman dan sewa beli terus membentuk sebahagian besar pertumbuhan pinjaman isi rumah, manakala segmen kad kredit juga menyaksikan peningkatan kukuh, mungkin untuk penggunaan Tahun Baharu Cina.

Sementara itu, pihaknya menjangkakan sektor perbankan akan terus menunjukkan daya tahan berdasarkan tulang belakang ekonomi yang lebih kukuh, dengan 2024 dijangka disokong oleh pelancaran projek infrastruktur awam serta kembalinya minta pelabur asing.

Menurutnya, turut dijangkakan perbelanjaan isi rumah akan dipengaruhi oleh pembaharuan cukai dan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar.

Berkuat kuasa pada 1 Mac, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dinaikkan kepada lapan peratus, berbanding peratus peratus sebelum ini.

Bagaimanapun kadar baharu ini tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi dan tempat letak kereta.

Peningkatan kadar SST baharu ke lapan peratus ini diumumkan dalam Pembentangan Belanjawan 2024 Oktober lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28