JAKARTA - Penduduk dan peniaga Indonesia di Pulau Sebatik dilaporkan gemar membeli barangan dari Malaysia untuk keperluan harian mereka kerana harganya yang jauh lebih rendah berbanding dengan yang terdapat di wilayah Indonesia.
Pulau yang menjadi bahagian dari provinsi Kalimantan Utara dan berhampiran dengan Tawau, Sabah terbahagi kepada dua wilayah dengan bahagian selatan dimiliki Indonesia dan bahagian utara milik Malaysia.
Muliyati, pemilik kedai makan yang terletak lima meter dari garis sempadan, mengakui kerap membeli beras dari Malaysia untuk keperluan perniagaannya.
"Lebih mudah dan murah untuk dapat dari Malaysia.
"Beras 10 kilogram di Tawau berharga RM27.60, sekitar 90,000 rupiah, tak sampai 100,000 rupiah pun.
"Sedangkan di sini (Indonesia) sekitar 130,000 rupiah," katanya dipetik portal berita tempatan, detikFinance.
Penduduk di sempadan juga memilih untuk membeli barang keperluan asas lain seperti minyak masak, sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan sejuk beku dari Malaysia.
Petani dan pekebun kecil turut menjual produk pertanian seperti pisang, kelapa sawit dan getah ke Malaysia berbanding kawasan lain di Indonesia kerana faktor kos penghantaran.
Menurut detikFinance, pemilik kedai runcit, Nila, yang kedainya hampir dua kilometer dari sempadan berkata, kebanyakan kedai menjual produk Malaysia kerana permintaan yang tinggi.
"Produk Malaysia lebih laris kerana lebih murah," katanya sambil menambah bekalan diperoleh dari Tawau melalui tempahan dalam talian menggunakan telefon bimbit dan dihantar oleh kapal Indonesia.
Permintaan terhadap barangan Malaysia seperti minyak masak disebabkan harganya yang murah sekitar 16,000 rupiah, manakala di Indonesia sekitar 20,000 rupiah.
Timbalan Pegawai Daerah Nunukan, Kalimantan Utara, Hanafiah menjelaskan, cabaran utama Pulau Sebatik ialah akses logistik yang memicu harga produk Indonesia lebih tinggi berbanding produk Malaysia.
"Jika pemerintah boleh membantu menyelesaikan isu keperluan asas dan lain-lain dalam kuantiti yang mencukupi, maka penduduk tidak akan mempunyai pilihan.
"Tetapi jika ini tidak dapat dipenuhi, maka mereka akan mencari alternatif di tempat lain.
"Pembelian keperluan asas tidak boleh ditangguh," katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28