PUTRAJAYA - Seramai 8 juta pengguna perkhidmatan bekalan air yang terdiri daripada 87 peratus pengguna domestik dan 13 peratus bukan domestik di Semenanjung dan Labuan menikmati pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berkuat kuasa Jumaat.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi kenyataan memaklumkan, seramai 4.7 juta lagi pengguna perkhidmatan pembetungan di kawasan sama juga tidak terkesan dalam kenaikan caj berkenaan.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkhidmatan air terawat dikecualikan daripada SST manakala bil elektrik pula cukai hanya dikenakan ke atas kadar penggunaan lebih daripada 600 kilowatt sejam (kWj).
Dalam pada itu, PETRA menasihati orang awam agar menggunakan air secara berhemah.
"Ia terutama ketika negara sedang berhadapan dengan musim panas dan kering di kebanyakan negeri," ujar kementerian berkenaan.
Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Selasa mengeluarkan amaran cuaca panas tahap berjaga-jaga di 14 kawasan dalam Semenanjung Malaysia.
Antara kawasan terlibat adalah Pulau Langkawi, Padang Terap, Sik, Baling, Kubang Pasu, Kota Setar dan Pendang di Kedah serta negeri Perlis.
Indikator bagi tahap berjaga-jaga adalah apabila suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28