Piala TNB: TNB belasah KL 7-0, THT tewaskan LMHT 5-2

Iklan
Pemain Kuala Lumpur City, Dheeressh Gunaseelan mengawal bola ketika diasak pemain TNB, Muhammad Firhan Ashaari pada perlawanan suku akhir Kejohanan Hoki Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Bernama

SKUAD Tenaga Nasional Berhad (TNB) memulakan saingan Piala TNB dengan langkah kanan apabila membelasah Kuala Lumpur City (KL) 7-0 dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Jumaat.

Kemenangan itu menyaksikan TNB yang merupakan juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 berada di landasan terbaik untuk memperoleh kemenangan bagi aksi kedua suku akhir, sekali gus mara ke separuh akhir dalam misi memburu gelaran treble bagi tahun ini.

Iklan
Iklan

TNB dilihat bermula garang mendominasi perlawanan pada awal permainan apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal membuka tirai jaringan pada minit ke-10 sebelum Wan Haziq Hishamuddin Wan Azmeer Ruzman menggandakan kedudukan pada minit ke-25.

TNB di bawah kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang terus mengasak kubu KL membuahkan hasil selepas Muhammad Azrai Aizad menyudah gol peribadi kedua pada minit ke-26, sebelum pemain import Korea Selatan, Jang Jong-hyun meledakkan gol keempat TNB pada minit ke-31 pada babak kedua perlawanan.

Iklan

Pertahanan TNB Norsyafiq Sumantri kemudian memastikan kedudukan skuadnya kukuh apabila menyudah dua jaringan pada minit ke-36 dan ke-37 sebelum Wan Haziq menyumbat jaringan ketujuh pada minit ke-39 dan keputusan kekal 7-0 hingga wisel penamat dibunyikan.

TNB pada tahun ini mencipta sensasi apabila menjulang Piala Sumbangsih pada awal Februari lepas, sebelum menamatkan kemarau 21 tahun untuk merangkul kejuaraan MHL 2024 pada Selasa lepas.

Iklan

Sementara itu, juara bertahan, Terengganu Hockey Team (THT) tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenganan mudah 5-2 menentang Liaoning Men's Hockey Team (LMHT) pada perlawanan suku akhir pertama di SNBJ.

Sekiranya TNB dan THT mampu mengekalkan kemenangan pada suku akhir kedua pada Ahad ini, kedua-dua pasukan dijangka bertemu buat kali kedua memandangkan sebelum ini telah bertemu pada aksi Piala Sumbangsih 7 Februari lepas.

Dua lagi perlawanan suku akhir pertama menyaksikan Maybank berjaya menundukkan TNB Thunderbolts 7-1 di SNBJ manakala UiTM HA-KPT (UiTM) menewaskan Nurinsafi Sporting (NI) 2-1 di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang malam ini. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28