PENAMPANG - Seorang kanak-kanak autisme yang dilaporkan hilang pada petang Jumaat ditemui dalam keadaan selamat oleh penduduk di Kampung Sugud, di sini.
Avelyn Alesha Jude, 6, ditemui kira-kira jam 11.20 malam Jumaat di kawasan hutan sejauh 5 kilometer (km) selepas tujuh jam disedari hilang dari rumah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.44 petang.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 10 kilometer dari BBP Penampang.
"Menurut pemanggil iaitu ibu mangsa memaklumkan bahawa anaknya disedari tiada di rumah pada jam 4 petang.
"Usaha mencari mangsa bersama penduduk kampung dijalankan namun mangsa tidak ditemui. Pasukan bomba turut berada di lokasi bagi mendapatkan maklumat dan seterusnya melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Katanya lagi, mangsa tidak ditemui sepanjang operasi tersebut dan terpaksa ditangguhkan pada jam 9.10 malam.
"Operasi SAR akan disambung keesokan harinya namun pada jam 11.20 malam pihak bomba dimaklumkan mangsa sudah ditemui oleh penduduk kampung.
"Kanak-kanak itu seterusnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I bagi menerima rawatan lanjut," katanya.
Zeno berkata, operasi ditamatkan pada 11.35 malam selepas mangsa ditemukan selamat.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28