MELAKA - Gara-gara mahu mengelak anjing melintas, sebuah kereta dipercayai merempuh tembok Masjid An-Ni’mah, Bukit Piatu, di sini, pada awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian lebih kurang jam 2 pagi itu, pemandu kereta berusia 51 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian, pemandu terbabit dalam perjalanan dari arah Taman Semabok Perdana menuju ke Bukit Baru.
"Keadaan itu menyebabkan kenderaannya terbabas lalu melanggar tembok masjid hingga runtuh selain keretanya mengalami kerosakan di bahagian hadapan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Jelasnya, tiada sebarang rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan siasatan lanjut masih diteruskan.
"Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan," katanya lagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28