SHAH ALAM - Pemilik jenama pakaian kasual gaya hidup dan lasak bertaraf antarabangsa, camel active mengumumkan pembukaan kedai perdana pertamanya di Asia Tenggara bertempat di LaLaport, Bukit Bintang City Centre (BBCC), Kuala Lumpur.
Pengarah Urusan CLT Asia Sdn Bhd, Jason Tan berkata, kedai yang berorientasikan konsep terkini dan moden itu menyasarkan golongan muda bandar, lelaki dan wanita.
"Ia adalah sebuah pusat beli-belah yang menampilkan gaya hidup dinamik, selari dengan semangat camel active.
"Pembukaan kedai perdana ini adalah tanda komitmen kami dalam menawarkan pengalaman membeli-belah yang unik kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Jason, pelanggan juga boleh mendapatkan barangan persediaan glamping, eksklusif dan koleksi camel active serta C by camel active.
Jelasnya, matlamat koleksi C by camel active adalah untuk menggalakkan kehidupan lestari dengan mempromosi usaha pemuliharaan alam semula jadi.
"Menerusi usaha yang eksklusif, edisi ‘Save the Forest, Adopt a Tree’ daripada koleksi C by camel active diharap dapat menyokong kerja-kerja pemuliharaan Taman Tugu.
"Sebanyak 10 peratus daripada hasil jualan edisi terhad itu akan didedikasikan kepada inisiatif yang diterajui Amanah Warisan Negara (AWAN)," ujarnya yang juga wakil jenama camel active di Asia Tenggara.
Jelasnya, premis berkenaan terletak di aras G 24 & 25 dan memiliki ruang niaga yang luas iaitu 2,400 kaki persegi.
Ujar beliau, kedai perdana camel active berkenaan menawarkan pelbagai koleksi pakaian, kasut, beg dan aksesori terkini.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28