JOHOR BAHRU - Kehadiran sekumpulan etnik Rohingya berniaga di pasar malam Taman Anggerek, Kempas di sini sejak kebelakangan ini menimbulkan persoalan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat.
Warga asing terbabit didapati menjual makanan dan barang basah menimbulkan tanda tanya siapa yang memberi kebenaran kepada mereka untuk berniaga di tapak pasar malam itu.
Presiden Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau), Mohd Ridhwan Othman berkata, kumpulan peniaga Rohingya itu dipercayai berniaga atas platform kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
"Perbuatan ini menyalahi undang-undang termasuk ketiadaan lesen berniaga, tahap kebersihan peniaga berkenaan juga meragukan dan mungkin boleh menyebabkan penularan wabak penyakit berjangkit.
"Ini kerana barangan yang dijual mereka dengan harga murah bukan saja menjadi tumpuan etnik Rohingya dan kumpulan warga asing malah segelintir pengunjung dalam kalangan rakyat tempatan," katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini tular dalam media sosial foto peniaga Rohingya berkenaan berniaga di pasar malam berkenaan yang menimbulkan rasa tidak puas penduduk.
Mohd Ridhwan berkata, warga asing berkenaan tanpa segan silu dan rasa bersalah berniaga tanpa ada atau menunjukkan lesen seolah-olah mereka kebal selain dilihat tiada pemantauan daripada pihak berkuasa.
"Penduduk kesal di mana penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun penganjur pasar malam yang diberi amanah," katanya.
Beliau mendakwa, golongan itu semakin berani mencabar undang-undang negara kita sedangkan rakyat tempatan berdepan dengan tindakan undang-undang jika berniaga tanpa lesen.
Beliau berharap pihak berkaitan peka dengan masalah itu dan pada masa sama selain berniaga di pasar malam, mereka juga bebas membuka kedai di bangunan rumah kedai di sekitar Taman Anggerik.
Sementara itu, seorang penduduk Kempas, Azimah Zakaria, 49, berkata kewujudan peniaga warga asing turut menjejaskan operasi peniaga tempatan.
"Bayangkan nasib peniaga yang membayar lesen dan sebagainya untuk beroperasi sebaliknya warga asing berniaga sewenang-wenangnya.
"Ia sepatutnya tidak berlaku dan diharap penduduk tempatan juga boikot peniaga seumpama itu," katanya.
Seorang lagi penduduk Kempas, Nordin Adon, 42, mahu pihak berkuasa terbabit segera melakukan operasi kerana tidak mahu masalah tersebut bertambah parah.
"Kita tidak mahu pasar malam tersebut didominasi etnik Rohingya yang sewenang-wenangnya menjalankan perniagaan tanpa adanya tindakan tegas daripada pihak berkuasa," ujarnya.
Sementara itu, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan mengambil tindakan berkaitan perkara berkenaan.