TEMERLOH - Kehilangan rahim dan ovari akibat kanser tidak menghalang seorang wanita, Ratnawati Bahari, 45, kekal aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan hingga kini.
Anak kelahiran Pahang itu turut aktif dalam dunia pemotoran kerana minatnya dalam bidang tersebut hingga menerajui sebuah kelab motosikal terdiri daripada wanita-wanita di Temerloh.
Ternyata imej berniqab tidak menghalang ibu kepada dua cahayamata berusia 16 dan 23 tahun itu memiliki motosikal 125YZ bernilai kira-kira RM15,000 sejak beberapa tahun lalu.
"Saya mula dikesan menghidap kanser ketika berusia 26 tahun selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga bersama suami, Johari A Jalil, 55, dan melahirkan anak pertama.
"Ketika ingin menjalani pembedahan membuang rahim, barulah dikesan ovari turut perlu dibuang dan sejak itu saya hidup tanpa memiliki kedua-duanya.
"Di peringkat awal, memang agak sukar menerima nasib yang terpaksa dihadapi tapi berkat sokongan suami, keluarga serta rakan-rakan saya kembali bangkit dan melakukan pelbagai aktiviti termasuk melibatkan diri dengan hobi bermotosikal," katanya ketika berkongsi pengalaman hidup dengan Sinar Harian baru-baru ini.
Jelasnya, dalam tempoh tersebut beliau turut mengambil seorang anak angkat perempuan yang kini berusia 16 tahun dan dugaan hidupnya kembali berulang selepas diserang strok ketika berusia 31 tahun.
Tambahnya, situasi tersebut membuatkan dirinya lagi aktif mengubah gaya hidup terutamanya dalam diet pemakanan supaya kekal sihat.
"Bayangkan saya turut mengidap penyakit kencing manis dan sekarang selepas ubah gaya hidup, daripada perlu suntikan insulin, sekarang tidak perlu lagi dan hanya perlu makan empat berbanding 24 biji pil sebelum ini," ujar anak kedua daripada dua beradik itu.
Ditanya mengenai hobinya terhadap motosikal, beliau memberitahu, ia dibeli oleh suaminya kerana hasratnya ketika itu ingin memenuhi keinginan sebelum akhir hayat.
"Ia juga terapi diri dan tak sangka penglibatan dalam hobi ini membawa saya mengetuai sebuah kelab motosikal dan terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti berkonvoi ke pelbagai lokasi," ujarnya mula memakai niqab sepenuhnya selepas pandemik.
Selain aktif dalam kegiatan kemasyarakatan menerusi penglibatan dalam parti politik sejak 20 tahun lalu selain bergelar anggota Rela, Ratnawati juga melibatkan dirinya dalam urusan memandikan jenazah di hospital di sini.
Beliau berkata, ia bermula dengan niatnya untuk memandikan sendiri jenazah ibunya suatu hari nanti membuatkan dirinya menyertai pelbagai kursus sebelum khidmatnya kini ditagih untuk membantu masyarakat dalam urusan terbabit.
"Saya ingin menasihatkan wanita di luar sana supaya tidak mudah berputus asa walaupun ditimpa pelbagai dugaan, bersyukur serta reda dengan apa dihadapi selain mengamalkan gaya hidup sihat," jelasnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28