KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) dalam perancangan untuk membawa skuad ragbi tujuh sebelah (7s) kebangsaan menjelajah New Zealand, Australia dan Fiji tahun ini sebagai persiapan mengharungi Sukan SEA Thailand 2025.
Setiausaha Agung Kehormat KRM, Fahmy Jalil berkata, tiga negara berkenaan berada dalam radar badan induk sukan itu dalam usaha memantapkan pasukan negara, namun rancangan itu tertakluk kepada keputusan Majlis Sukan Negara (MSN).
"Perancangan itu ada, kita kena tengok kewangan dahulu macam mana serta sokongan MSN. Kami sudah hantar permohonan itu sekali gus berharap agar dapat pendedahan di luar negara pada masa akan datang,” katanya.
Fahmy berkata demikian ketika ditemui pada Kejohanan KL Tigers Ragbi Antarabangsa 10s di Bukit Kiara di sini hari ini.
Beliau berkata, skuad ragbi 7s negara, bagaimanapun pada masa ini akan memberi tumpuan penuh kepada penyertaan Siri Ragbi Dunia Tujuh Sebelah di Singapura pada Mei ini sebelum mencongak langkah jauh ke temasya sukan dwitahunan itu.
"Lepas habis kejohanan itu, kita ada tiga bulan lagi untuk berlatih untuk Kejohanan Asia Rugby Seven Series pada September pula,” katanya.
Ragbi 7s tidak dipertandingkan pada Sukan SEA Kemboja 2023, namun berpeluang besar untuk kembali pada edisi Thailand 2025, Kuala Lumpur (2027) dan Singapura pada 2029.
Pencapaian terbaik skuad 7s negara adalah dengan merangkul pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Bernama