IPOH - Penduduk Kampung Tersusun Pekan Lama Tanjung Rambutan di sini dan empat taman perumahan di sekitarnya mendakwa keselamatan mereka terancam susulan tindakan pemandu-pemandu lori mengangkut tanah yang menggunakan laluan di kampung itu.
Penduduk, Zulfadzli Zanori, 42, berkata, selain isu keselamatan, masalah kerosakan jalan turut dialami sejak beberapa tahun lalu, selain penduduk berdepan pencemaran habuk dan rumah retak.
Justeru katanya, pihak berkuasa digesa segera mengambil tindakan terhadap masalah itu.
"Waktu operasi lori berkenaan bermula seawal jam 6.30 pagi sehingga petang dengan kekerapan perjalanan lebih 50 kali sehari menyebabkan penduduk berdepan pelbagai risiko.
"Jalan yang dilalui lori-lori ini merupakan laluan utama penduduk malah berhampiran dengan sekolah dan Tabika Perpaduan. Jadi ini mendatangkan bahaya kepada murid sekolah dan ibu bapa yang menghantar anak masing-masing.
"Saya dan beberapa penduduk juga berdepan masalah apabila ada struktur di rumah kami turut retak selain terpaksa melalui jalan yang rosak akibat lori ini," katanya ketika ditemui di Kampung Tersusun Pekan Lama di sini pada Sabtu.
Misliah Kassim, 68, pula berkata, sejak tinggal di situ pada 1998, penduduk tidak pernah berdepan pengalaman yang menyukarkan penduduk terutama masalah debu menyebabkan rumah kotor dan berhabuk.
Jelasnya, penduduk terkilan kerana lori-lori tanah tersebut dibenarkan melalui jalan kampung sedangkan risiko yang terpaksa dihadapi amat besar.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Surau Al-Islah Taman Desa Jaya, Zainuddin Mohd Zain berkata, jemaah surau turut berdepan risiko setiap kali pergi ke surau.
Katanya, ada dalam kalangan jemaah yang beberapa kali terlanggar lopak jalan yang rosak akibat kenderaan berat itu.
"Walaupun belum ada kejadian tidak diingini berlaku, penduduk sudah mula bimbang kerana kesan dari segi keselamatan terutama permukaan jalan yang rosak sudah mula kelihatan. Jika terus dibiarkan, penduduk khususnya jemaah surau akan berdepan masalah.
"Sebab itulah penduduk membantah jalan ini digunakan lori-lori ini. Pemilik projek atau lori perlu mencari jalan alternatif lain yang jauh daripada penempatan penduduk. Jika jalan kampung rosak, siapa akan bertanggungjawab dan bila pula tempoh masa nak baiki," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tanjung Rambutan, Ahmad Yusof Tarmuji menjelaskan pihaknya menerima banyak aduan dari penduduk Taman Desa Jaya, Taman Kinta Jaya, Taman Maju, Taman Seri Tanjung dan Kampung Tersusun Pekan Lama mengenai masalah tersebut.
Katanya, difahamkan lori-lori itu mengangkut tanah koalin dari kuari berhampiran yang diluluskan untuk dibawa keluar.
"Syarikat yang terlibat sepatutnya membuat jalan lain dengan menyewa atau mendapatkan kebenaran tuan tanah untuk mewujudkan laluan baharu tanpa melalui jalan penduduk.
"Kita juga memohon tindakan daripada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta dna Pejabat Ahli Parlimen Tambun untuk meneliti isu berkenaan seterusnya menyelesaikan masalah berkenaan," katanya.
Jelas beliau, sekiranya masalah tersebut berlarutan, penduduk akan terus melakukan bantahan sehingga isu tersebut diselesaikan.