KUALA KRAI - [DIKEMAS KINI] Empat beranak maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Gua Musang - Kuala Krai dekat Kampung Pahi pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu, mangsa yang maut ialah pasangan suami isteri, Syukran Jamil Ab Hamid, 35, dan Noor Aisyah Razali, 35, manakala anak mereka, Lufya Adeena Syukran Jamil berumur setahun.
Seorang lagi anak mereka Ahya Rafiqi, 6, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra di sini.
Anak pasangan itu yang selamat dan sedang mendapatkan rawatan di hospital sama dikenali sebagai Attar Azim Syukran Jamil, 9.
Ketika kejadian, kesemua mangsa menaiki kereta jenis Perodua Myvi bersama dari arah Kota Bharu ke Gua Musang sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Nissan March dari arah bertentangan.
Saksi kejadian, Siak Masjid Mukim Pahi, Ismail Mat Yaakob, 65, berkata, sebelum kejadian dia berada di dalam masjid sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat.
Menurutnya, selepas itu dia segera bergegas keluar dan mendapati sebuah kereta Myvi berada di kawasan parkir di pekarangan masjid.
"Saya melihat pemandu kereta itu masih bergerak dan terus membisikkan dua kalimah syahadah di telinganya," katanya ketika ditemui di pekarangan masjid itu pada Sabtu.
Seorang lagi saksi yang juga penduduk Kampung Pahi, Mustaza Che Amat, 56, pula berkata, sebelum kejadian dia sedang melakukan kerja-kerja di belakang rumah.
"Saya juga terdengar dentuman yang sangat kuat seperti kenderaan bertembung sebelum berlari ke lokasi kejadian.
"Ketika itu, saya melihat dua kenderaan sudah remuk berada di atas jalan raya," katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku selepas kereta Nissan March yang dipandu warga Thailand memasuki laluan Perodua Myvi sebelum bertembung.
"Pemandu Nissan March dikenali sebagai Sulaiman Yakoh, 39, ketika itu dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu," katanya.
Menurut Kamarulzaman, kejadian itu menyebabkan pemandu dan dua penumpang kereta Perodua Myvi meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Dua lagi penumpang kereta Perodua Myvi juga cedera dan mendapat rawatan di zon merah dan kuning di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
"Bagaimanapun, penumpang Perodua Myvi yang dirawat di zon merah meninggal dunia pada jam 3.15 petang semasa mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kamarulzaman berkata, pemandu Nissan March pula cedera parah manakala penumpangnya cedera ringan dan dirawat di hospital sama.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan ini boleh menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28