MELAKA - Peniaga negeri ini termasuk peniaga bazar Ramadan diberi amaran untuk tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati selepas kenaikan cukai jualan (SST) berkuat kuasa pada Jumaat lalu.
Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Tuminah Kadi berkata, pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus mempertingkatkan pemantauan termasuk dengan berpakaian seperti orang awam bagi memudahkan operasi terhadap individu yang berdegil menaikkan harga melampau.
"Saya beri amaran termasuk peniaga Bazar Ramadan yang akan beroperasi tidak lama lagi, jangan ambil kesempatan dengan isu SST.
"Lebih-lebih lagi kenaikan itu tidak membabitkan perkhidmatan untuk makanan dan minuman selain kerajaan memberikan pelbagai bentuk subsidi di semua peringkat masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program ‘Empowering Women’ melibatkan acara sukan jet ski sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di Pantai Puteri di sini pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor berkata, pasukan pemantauan KPDN Melaka telah pun berjalan sejak bulan lalu dan akan dipergiatkan lagi menjelang Ramadan.
"Ini termasuklah di pasar raya, kedai runcit dan restoran dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku kenaikan yang tidak munasabah," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28