Harga tiket Bukit Bendera naik tidak jejas pelancong tempatan

Iklan
Kenaikan kadar tiket perkhidmatan kereta api kabel atau funikular Bukit Bendera bermula Mei depan.

GEORGE TOWN - Kenaikan kadar tiket untuk perkhidmatan kereta api kabel atau funikular Bukit Bendera yang bermula Mei depan tidak akan menjejaskan minat pelancong tempatan untuk berkunjung ke pusat peranginan terkenal itu.

Pengarah Eksekutif Suria Travel, Datuk Ismail Jusoh berkata, kenaikan minimal sebanyak RM2 itu pasti berbaloi buat pengunjung Bukit Bendera yang mana mereka akan menikmati pelbagai tarikan disediakan dari stesen bawah hingga ke puncak.

Iklan
Iklan

Malah jelasnya, pengunjung juga akan dihidangkan dengan suasana nyaman serta panorama indah sepanjang berada di Bukit Bendera yang pastinya memberikan pengalaman berbeza dengan lokasi tarikan pelancongan lain dalam negara ini.

"Kadar kenaikan RM2 untuk tiket sehala laluan biasa bagi semua kategori umur termasuk pemegang MyKad, MyKid serta pemegang kad yang sah iaitu Malaysia My Second Home (MM2H), permit kerja, pasangan warganegara Malaysia masih dianggap munasabah.

Iklan

Pengunjung dihidangkan dengan suasana nyaman serta panorama indah sepanjang berada di Bukit Bendera.

"Pastinya banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Bukit Bendera termasuk berkunjung di beberapa tempat bersejarah yang terdapat di sini, selain pengunjung boleh melihat keindahan bandaraya George Town dan Seberang Perai dari puncak bukit,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Iklan

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) pada Jumaat dalam satu kenyataan memaklumkan harga tiket untuk perkhidmatan kereta api kabel atau funikular Bukit Bendera akan dinaikkan RM2 untuk tiket sehala laluan biasa bagi semua kategori umur bermula 1 Mei ini.

Berikutan itu, ia menjadikan tiket sehala yang sebelum ini berharga RM6 menjadi RM8.

Bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun dan warga emas 60 tahun ke atas, harga tiket baharu untuk dua hala adalah RM8 berbanding RM6 sebelum ini dan RM4 untuk tiket sehala.

Sementara itu, kadar tiket 'Sunrise' baharu untuk pemegang MyKad dan MyKid yang boleh didapati pada musim luar puncak berharga RM5 berbanding RM3 ketika ini.

Funikular Bukit Bendera adalah satu-satunya pengangkutan seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara dan sudah pasti ia kekal sebagai salah satu ikon warisan Pulau Pinang yang paling terkenal di seluruh dunia.

Ia merupakan salah satu landasan terowong yang paling curam di dunia, dan telah membawa lebih 47 juta pengunjung, termasuk pelancong dari dalam dan luar negara, penduduk dan masyarakat tempatan sejak 1924 untuk ke Bukit Bendera.

Pada tahun lalu, Bukit Bendera menyambut ulang tahun ke-100 perkhidmatannya sebagai lokasi pelancongan terkemuka dunia.

Malah lebih membanggakan pada 2021 Bukit Bendera telah diiktiraf sebagai tapak rizab biosfera Malaysia yang ketiga di bawah Program Man and the Biosphere (MAB) oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengiktirafan itu dibuat pada mesyuarat International Coordinating Council of the 33rd Session of the International Coordinating Council of Man and the Biosphere Programme (ICC MAB).

Sementara itu, pencipta kandungan dan youtuber pelancongan, Ultraman Wil turut memberikan pendapat sama berkaitan kenaikan harga tiket itu namun beliau berpandangan PBBPP sepatutnya kenaikkan kadar caj tiket dikenakan kepada pelancong asing.

"Bagi saya kadar tiket baharu kereta api Bukit Bendera itu masih berpatutan dan percaya ia akan disusuli dengan kualiti perkhidmatan yang semakin mantap bagi memastikan kawasan tarikan pelancongan itu terus terpelihara.

"Kadar tiket untuk pelancong asing yang sepatutnya dilihat semula kerana bagi saya caj dibawah RM50 dikenakan kepada bukan warganegara masih dianggap murah kalau dibandingkan dengan pusat peranginan lain sedangkan Bukit Bendera mempunyai tarikan tersendiri," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28