SERI KEMBANGAN - Kegiatan pengedaran dadah dilakukan seorang penuntut wanita sebuah kolej swasta bersama tunangnya terbongkar selepas mereka diberkas dalam operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor kira-kira jam 6 petang di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, hasil pemeriksaan, polis menjumpai satu bungkusan plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat kira-kira 1.05 kilogram bernilai RM40,000.
Iklan
Iklan
"Hasil semakan, wanita berusia 25 tahun itu merupakan penuntut tahun akhir dan tunangnya yang berumur 28 tahun merupakan penganggur. Mereka aktif melakukan aktiviti tersebut selepas lelaki tersebut keluar penjara bulan lalu.
"Siasatan awal mengesyaki bekalan dadah diperoleh daripada seorang lelaki di Ampang sebelum diedar di sekitar kawasan Serdang dan Sungai Buloh," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis syabu.
Katanya, siasatan masih dijalankan dan pasangan terbabit kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.