GEORGETOWN - [KEMASKINI] Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas terperangkap dalam kebakaran di rumah keluarganya di Lorong Nipah 10, Taman Lip Sin, Bayan Baru di sini tadi
Kanak-kanak berusia enam tahun itu dipercayai terperangkap di tingkat atas rumah teres dua tingkat pada jam 4.25 petang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mayat Koey Siew Kim ditemukan dalam keadaan terbaring dan rentung di dalam bilik berdekatan tingkap.
Menurutnya, dari maklumat diperolehi, api mula marak pada jam 4.15 petang tadi.
"Mangsa tinggal di rumah tersebut bersama bapa, ibu, nenek dan adik lelakinya. Ketika kejadian, mangsa berada di tingkat atas rumah tersebut manakala nenek,nenek saudara dan adik lelaki mangsa berada tingkat bawah.
"Sementara ibu dan bapanya keluar ke pasar raya berdekatan untuk memberi barang keperluan.
Semasa api marak, nenek, nenek saudara dan adik lelakinya berjaya keluar menyelamatkan diri namun mangsa gagal," katanya ketika dihubungi tadi.
Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.20 petang dan bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, kebakaran berlaku di tingkat atas rumah tersebut dengan anggaran peratusan kemusnahan hampir 75 peratus.
"Kebakaran dapat dikawal pada jam 5.20 petang. Kerja-kerja menyelamat dan pemadaman api melibatkan tiga buah jentera dan 14 anggota dari Balai Bomba Jalan Perak.
"Punca kebakaran masih belum diketahui dan dalam siasatan," katanya.